Polis senarai puluhan saksi berkaitan dakwaan Najib arah bunuh Altantuya

KUALA LUMPUR: Polis menyenaraikan puluhan nama untuk dipanggil sebagai saksi bagi membantu siasatan berhubung akuan berkanun (SD) dibuat bekas pegawai Unit Tindakan Khas (UTK) Azilah Hadri berkaitan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, polis menjalankan siasatan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan pada masa sama menunggu arahan lanjut dan spesifik daripada Jabatan Peguam Negara berhubung kes berkenaan.
“Ini tanggungjawab polis untuk menyiasat perkara ini. Berhubung SD Azilah, beberapa saksi, individu sudah disenaraikan untuk dipanggil memberi kenyataan. Polis juga akan menunggu apa juga arahan spesifik daripada Jabatan Peguam Negara.
“Tetapi, dalam modus operandi polis, sudah ada SOP untuk kita ambil tindakan. Sekiranya ada arahan daripada Jabatan Peguam Negara, kita akan laksanakan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini. Ketika ditanya, apakah bekas perdana menteri Najib Razak akan dimasukkan sebagai salah seorang saksi yang disenaraikan polis, Abdul Hamid hanya menjawab “puluhan individu akan dipanggil”.
Pada 16 Dis lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed berkata pihaknya perlu membuat pengesahan terhadap SD yang dibuat Azilah.
Azilah dalam SD yang dibuatnya mendakwa menerima arahan membunuh Altantuya daripada Najib, yang ketika kejadian merupakan timbalan perdana menteri.
Pada Jumaat lalu, Najib mengangkat sumpah laknat menafikan beliau pernah mengarahkan Azilah atau mana-mana individu lain membunuh Altantuya.
Najib pernah melafazkan sumpah laknat sama 11 tahun lalu di Masjid Guar Perahu, Pulau Pinang, dengan menafikan beliau mengenali Altantuya.
Altantuya dibunuh pada Oktober 2006 di hutan di Puncak Alam berdekatan Shah Alam, Selangor, dengan tembakan ke kepala sebelum tubuhnya diletupkan.
Seorang lagi bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar lari ke Australia selepas Mahkamah Rayuan membebaskannya dan Azilah daripada tuduhan membunuh Altantuya pada 2013. Pembebasan mereka diterbalikkan Mahkamah Persekutuan pada 2015.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu