Ramkarpal pada Thomas: Selesaikan apa yang gagal dibuat AG terdahulu
Dapatkan pautan
Facebook
X
Pinterest
E-mel
Apl Lain
Abdul Gani Patail dan Mohamed Apandi Ali telah gagal menjelaskan
misteri sekitar pembunuhan Altantuya Shaariibuu ketika mereka memegang
jawatan peguam negara (AG), menurut anggota parlimen DAP Ramkarpal
Singh.
Kini, katanya, bergantung kepada Tommy Thomas - yang
menggantikan mereka sebagai peguam negara - untuk menyelesaikan perkara
itu.
"Sesuai untuk dinyatakan bahawa persoalan berkenaan siapa
yang mengarahkan pembunuhan Altantuya tidak pernah diselesaikan semasa
dua AG sebelum ini.
"Tambahan pula, motif pembunuhan itu tidak
pernah didedahkan sepanjang perbicaraan yang berakhir di Mahkamah
Persekutuan pada 2015.
"Ia
pasti akan menjadi salah satu pencapaian terhebat, kalau pun bukan yang
terhebat, bagi Thomas jika perkara itu dicapai ketika dia menjadi AG,"
katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramkarpal merupakan peguam
kepada bapa Altantuya, Shaariibuu Setev, dalam samannya terhadap dua
bekas pegawai polis yang disabit bersalah membunuh warga Mongolia itu,
Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar; Abdul Razak Baginda; dan kerajaan
Malaysia.
Razak
yang merupakan individu yang rapat dengan bekas perdana menteri Najib
Razak, pada mulanya didakwa bersubahat dalam pembunuhan itu tetapi
dibebaskan.
Ramkarpal juga mengalu-alukan kenyataan Thomas bahawa dia sedang mempertimbangkan sama ada untuk mengarahkan siasatan baru dibuka terhadap pembunuhan yang berlaku 13 tahun lalu itu.
Ia susulan dakwaan mengejutkan oleh Azilah menerusi perakuan bersumpah (SD) yang antara lain mendakwa Najib yang memberi arahan langsung untuk membunuh Altantuya.
Azilah
turut mendakwa Najib dan Razak meyakinkannya bahawa Altantuya adalah
seorang perisik asing yang mengancam keselamatan negara.
Dia kini dalam proses memohon agar mahkamah menyemak semula keputusan yang mensabitkannya. SD tersebut, bersama-sama satu afidavit, merupakan dokumen sokongan dalam permohonannya.
Najib
bagaimanapun menafikan dakwaan itu dengan menyifatkannya sebagai
"semata-mata rekaan" dan mengulang kembali bahawa dia tidak pernah kenal
atau bertemu Altantuya.
Dalam pada itu, Ramkarpal menggesa Thomas agar memastikan Najib dipanggil untuk soal siasat apabila kes itu dibuka semula.
Dia mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador bahawa Najib mungkin dipanggil untuk membantu siasatan.
"Pelik
apabila Najib hanya mungkin dipanggil untuk membantu siasatan, terutama
kerana dia dinamakan oleh salah seorang yang didapati bersalah membunuh
sebagai memberi arahan untuk melakukannya.
"Maka Najib perlu
dipanggil untuk memberi keterangan... Saya tidak dapat melihat bagaimana
kebenaran atau kepalsuan dakwaan Azilah dalam SD tersebut dapat
disahkan tanpa memanggil Najib.
"Memandangkan polis akhirnya akan
menghantar hasil siasatan kepada AG, saya gesa AG untuk memastikan
keterangan Najib diambil dengan mengarahkannya, jika IGP gagal berbuat
demikian," katanya lagi.
Ulasan
Catat Ulasan