Skandal 1MDB: Perbicaraan kes pengubahan wang Riza Aziz bermula Mei

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 6 hari pada Mei ini untuk perbicaraan kes penerbit Riza Aziz yang berdepan 5 pertuduhan pengubahan wang berjumlah AS$248 juta, sementara menunggu keputusan semakan semula oleh pihak pendakwaan.
Peguam Hariharan Tara Singh berkata, pihak pembelaan memohon Jabatan Peguam Negara (AGC) membuat semakan semula pertuduhan ke atas anak guamnya pada November lalu.
“Kami turut memberi butiran lanjut kepada AGC untuk pertimbangan mereka, tetapi belum mendapat jawapan,” katanya selepas sebutan semula kes itu di depan Hakim Rozina Ayob di kamarnya hari ini.
Hariharan berkata, Rozina menetapkan pengurusan kes pada 25 Feb ini untuk memaklumkan perkembangan representasi yang dibuat kepada AGC.
Rozina kemudiannya menetapkan 4 hingga 6 dan 27 hingga 29 Mei ini untuk perbicaraan kes itu.
Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal yang mewakili pihak pendakwaan, mengesahkan apa yang berlaku dalam kamar hari ini.
Riza yang juga anak Rosmah Mansor, dihadapkan ke mahkamah pada Julai tahun lalu atas pertuduhan pengubahan wang berjumlah AS$248 juta yang didakwa diterima daripada Good Star Ltd dan Aabar Investments PJS Ltd.
Dua syarikat itu didakwa ada kaitan dengan ahli perniagaan diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho.
Dia didakwa menerima wang itu antara April 2011 dan November 2012 di City National Bank di Los Angeles, California, dan juga Bank BSI di Temasek Boulevard, Singapura.
Jika sabit kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, Riza boleh dipenjara sehingga 5 tahun dan denda maksimum RM5 juta atau 5 kali ganda nilai aktiviti haram, mana lebih tinggi.
Ogos tahun lalu, Rozina menetapkan 8 hari pada bulan ini untuk mendengar kes itu, tetapi beliau membatalkan tarikh itu susulan representasi kepada AGC.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu