WHO isytihar koronavirus darurat kesihatan global

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis mengisytiharkan koronavirus novel sebagai darurat kesihatan global – istilah jarang digunakan yang akan menyaksikan penyelarasan antarabangsa lebih baik dalam menangani penularan wabak itu.
“Kebimbangan utama kami ialah potensi virus itu merebak ke negara yang mempunyai sistem kesihatan lemah.
“Ini bukan undi tidak percaya kepada China,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus yang berulang kali menegaskan langkah itu bertujuan membantu negara lain yang kurang mampu menangani wabak itu, tetapi beliau memuji tindakan segera diambil Beijing ke atas koronavirus.
“Kita semua perlu bertindak bersama untuk mengehadkan penularan berterusan…kita hanya boleh menghentikannya bersama,” katanya yang ke China untuk menemui Presiden Xi Jinping minggu ini.
Beluau berkata, “tiada alasan” untuk melaksanakan sekatan perjalanan atau perdagangan antarabangsa seperti menggantung penerbangan, menutup sempadan dan kuarantin bagi pelancong sihat yang diumumkan beberapa hari ini.
Beberapa syarikat penerbangan seperti Air France, British Airways dan Lufthansa menggantung atau mengurangkan penerbangan ke China.
Banyak negara menasihatkan rakyatnya tidak berkunjung ke China dan ada yang melarang kemasukan pelancong dari Wuhan, manakala Rusia menutup sempadannya dengan China susulan penularan wabak koronavirus.
Jawatankuasa Darurat WHO yang merupakan badan penasihat pakar antarabangsa, dalam satu kenyataan berkata bukti menunjukkan sekatan pergerakan manusia dan barangan ketika darurat kesihatan awam “mungkin tidak berkesan dan boleh mengalihkan sumber daripada pihak lain”.
“Sekatan mungkin menjejaskan bantuan dan sokongan teknikal yang diperlukan, mengganggu perniagaan dan mungkin mempunyai kesan negatif ke atas ekonomi negara terjejas akibat darurat itu,” kata jawatankuasa WHO itu.
Tetapi, katanya, “dalam keadaan tertentu, sekatan pergerakan orang ramai mungkin berkesan buat sementara” – mungkin merujuk langkah penutupan bandar di China yang menjejaskan jutaan rakyatnya.
WHO tidak mengisytiharkan darurat kesihatan global minggu lalu kerana jawatankuasa itu berbelah bagi berhubung langkah berkenaan.
China mengumumkan angka korban koronavirus meningkat kepada 213 orang dengan hampir 2,000 kes baru disahkan pada Jumaat.
WHO berkata, terdapat 98 kes positif koronavirus di 18 negaa lain, termasuk 8 kes jangkitan manusia kepada manusia di Jerman, Jepun, Vietnam dan Amerika Syarikat.
WHO mengisytiharkan darurat kesihatan global 5 kali sejak ia dikuatkuasakan pada 2007, iaitu untuk selsema babi, polio, Zika dan 2 kali bagi penularan Ebola di Afrika.
Istilah itu yang dikaji setiap 3 bulan, membolehkan WHO mengeluarkan cadangan global untuk dipatuhi masyarakat antarabangsa.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu