'Bersatu Johor wajar contohi Mukhriz di Kedah'

Keputusan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin merelakan Umno mengetuai kerajaan negeri Johor akhirnya melemahkan parti itu sendiri, kata dua Adun pembangkang di Johor.
Adun Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali dan Adun Pulai Sebatang, Taqiuddin Che Man berkata, Bersatu Johor adalah 'mangsa keadaan' akibat percaturan politik "Langkah Sheraton".
Malah kata mereka, kesan paling malang kepada Bersatu Johor akibat kerjasama itu adalah apabila parti itu kehilangan kerusi menteri besar.
"Bersatu Johor menjadi 'korban' paling sadis dalam sejarah pengkhianatan ini.
"Meskipun mungkin ia adalah 'barter trade' untuk membolehkan Muhyiddin 'proceed' dengan jawatan sebagai ketua kerajaan di peringkat persekutuan.
"Mungkin pada peringkat awal lagi, Bersatu Johor sepatutnya boleh mencontohi Kedah yang mengambil sikap berkecuali daripada mengikuti formulasi penjajaran semula politik di peringkat persekutuan yang membentuk Perikatan Nasional (PN)," jelas mereka dalam satu kenyataan bersama.
Sheikh Umar merupakan Adun dari DAP manakala Taqiuddin merupakan Adun dari Amanah di Johor.
Menurut mereka, apa yang dilihat sekarang, Umno terus mengambil kesempatan untuk mengukuhkan kedudukan parti itu di Johor.
"Langkah Muhyiddin dan rakan-rakan 'Sheraton' ibarat bonus yang mempercepatkan gerak kerja Umno untuk kembali ke tampuk kuasa yang pastinya mewariskan politik lapuk," kata mereka.
Justeru itu kata mereka, Bersatu Johor wajar mengikut jejak Bersatu Kedah yang diketuai Mukhriz Maha.
"Jika kita ambil contoh tindakan Datuk Seri Mukhriz di Kedah misalnya, ia memberikan lebih kuasa dan 'power of demand' kepada PPBM dalam PN yang sekadar merupakan kerjasama politik yang disifatkan sebagai 'rapuh' dan tidak memiliki halatuju kehadapan yang jelas," katanya.
Rasa tidak puas hati Bersatu terhadap Umno Johor dikatakan berpunca daripada pelantikan jawatan penting dalam agensi kerajaan di negeri itu yang dikuasai Umno.
Sebelum ini Setiausaha Bersatu Johor Solihan Badri meminta parti dalam PN agar tidak memandang enteng keberadaan mereka dalam gabungan berkenaan.
Sumber dalaman Bersatu berkata, mereka mahukan persefahaman bukan sahaja dari segi saling menghormati tetapi diterjemahkan dalam bentuk pengagihan jawatan.
Salah seorang pemimpin Bersatu Johor yang enggan dinamakan berkata, jawatan-jawatan sedia ada dalam negeri itu sepatutnya diagihkan sama rata.
Bekas menteri besar Johor Khaled Nordin mengakui rapuhnya gabungan PN di Johor, tetapi menolak "habuan politik" dalam bentuk lantikan jawatan sebagai penyelesaiannya.
Beliau yang juga naib presiden Umno berkata, PN hanya akan kukuh dan berfungsi dengan baik di Johor jika ia mampu menawarkan strategi yang baik bagi merealisasikan potensi negeri itu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ADA APA-APA KE TUN DAIM DI RUMAH TERBUKA AZMIN?

NEGARA TETAP PERLUKAN RAFIZI, WALAUPUN KERAJAAN SEMASA TIDAK PEDULIKANNYA

Ustazah hilang akhirnya dijumpai di Kuala Kangsar