Ekonomi pasca PKP: Apa nasib graduan 2020?

Ekonomi pasca PKP: Apa nasib graduan 2020?
EKONOMI dunia semakin hari semakin merudum lantaran krisis wabak COVID-19 yang mula melanda pada awal tahun ini.

Kerajaan turut menelan perbelanjaan yang tinggi demi menyalurkan bantuan kepada syarikat-syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS), umpamanya, daripada terpaksa menggulung tikar susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkehendakkan gerak kerja negara ‘membeku’ seketika.

Namun, kesan ini terlalu hebat untuk ditangani dalam jangka masa yang pendek.

Lebih-lebih lagi, Malaysia merupakan antara negara yang menelan perbelajaan besar dalam usaha menghapuskan wabak COVID-19.

Pun begitu, suntikan oleh pihak kerajaan tidak dapat menjamin kestabilan mana-mana pihak termasuklah golongan majikan dan pekerja.
Tidak terkecuali graduan universiti yang baru ingin membina tapak dalam dunia pekerjaan. Mereka juga menerima tamparan ‘normal baharu’ yang hebat apabila kadar pengambilan pekerjaan dilaporkan saban hari semakin terhad.

Menurut penganalisis ekonomi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari, peluang pekerjaan yang wujud pada tahun ini dijangka akan lebih sedikit dan kadar pengangguran dijangka meningkat.

“MIER (Malaysia Institute of Economic Research) menganggarkan sebanyak 2.4 juta akan kehilangan pekerjaan.

“Berdasarkan data dan keadaan ekonomi semasa peluang pekerjaan untuk enam bulan akan datang agak terhad. Rakyat sukar untuk memilih pekerjaan,” katanya kepada Astro AWANI pada Selasa.

Dr Yusof berkata rakyat juga sudah mula terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi apatah lagii dengan ketiadaan pendapatan di saat-saat kritikal ketika ini.

Ternyata, ramai pelajar lepasan universiti kini perlu mencari alternatif lain untuk menampung kehidupan di bandar.

Antaranya, Ameera Syahidah, 24, turut melakukan dua pekerjaan dalam satu masa untuk menyara kehidupannya.

“Selain memberi fokus kepada pekerjaan sepenuh masa sebagai barista, saya juga ada membuat bisnes sampingan menjual kek batik bersama adik saya. Kami berdua memutuskan untuk mencari duit sampingan sepanjang waktu PKP ini.

“Saya memilih untuk membuat dua pekerjaan pada satu masa kerana gaji saya tidak seberapa dengan komitmen yang saya ada,” kata Ameera kepada Astro AWANI.

Graduan lepasan universiti awam (UA) dalam bidang Teknologi Pemakanan itu, berpendapat bahawa ramai graduan yang sanggup membuat dua hingga tiga pekerjaan bagi menampung kehidupan terutamanya di kawasan bandar.

“Saya tidak lagi jumpa graduan yang memilih pekerjaan,” katanya.

Seperti Ameera, rata-rata bekas graduan universiti pada waktu ini terpaksa berkecimpung dalam sektor ekonomi gig yang tidak menawarkan perlindungan sosial pekerja demi menjana pendapatan yang mencukupi.


Malah, dengan penguatkuasaan PKP pada 18 Mac lalu, ia mengehadkan pergerakan graduan, sebagai contoh menghadiri temuduga pekerjaan.

Namun, dari sudut positif, situasi ini sedikit sebanyak meningkatkan prestasi ekonomi digital atas permintaan yang tinggi oleh rakyat.


Bagi graduan bidang psikologi pula, Ahmad Zakiy Mohsin Zulbahri, 24, dia berpendapat bahawa lepasan graduan yang terjejas perlu menerima apa sahaja peluang yang ada dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini.

Sehubungan itu, katanya, graduan, bagaimanapun, masih mempunyai pilihan untuk mempelajari pelbagai kemahiran baharu yang mungkin berbeza dari bidang asal mereka.

“Industri ekonomi digital sekarang sedang naik walaupun industri lain sedang terjejas akibat COVID-19. Jadi sebagai lepasan graduan, saya perlu bersedia untuk meningkatkan kemahiran saya dalam bidang digital untuk masa hadapan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Ahmad Zakiy, difahamkan, tidak memiliki pendapatan sementara menunggu pekerjaan baharunya dalam bidang sumber manusia yang dijangka bermula pada awal bulan Jun susulan pelaksanaan PKP.

Namun, katanya, waktu lapang yang ada ketika ini memberi peluang kepadanya untuk menambah nilai pada kemahiran-kemahiran baharu selepas dia sendiri melihat peningkatan positif dalam industri ekonomi digital.

“Pada masa ini, saya sedang mengambil kursus-kursus dalam talian untuk bidang pengaturcaraan sebagai persediaan saya berdepan dengan peluang-peluang yang lain.

“Saya lihat ramai juga rakan yang terpaksa ditangguhkan temuduga akibat PKP dan mereka perlu menganggur untuk tempoh yang lebih lama kerana syarikat secara amnya tidak berani mengambil risiko buat masa ini,” tambahnya lagi.

Menurut kajian Khazanah Research Institute, sebanyak 95 peratus pekerja muda berada dalam kategori pekerjaan tidak berkemahiran dan 50 peratus daripada jumlah itu didapati mempunyai kelayakan pendidikan yang lebih tinggi berbanding skop pekerjaan tersebut.

Sementera itu, mengulas isu ketidakpadanan pekerjaan dalam kalangan graduan, Dr Yusof berkata kemelut itu telah lama ‘bersarang’ dalam pasaran buruh.

“Ia adalah satu isu struktur yang perlu ditangani segera. Untuk tahun 2018 sahaja, 24 peratus graduan bekerja di pekerjaan yang tidak sama dengan kelayakan mereka,” katanya.

Tambah beliau, semasa tempoh PKP dan pasca-PKP, kadar ketidakpadanan graduan dijangkakan akan bertambah besar.


Dalam pada itu, beliau berpendapat bahawa keutamaan perlu diberikan pada kehidupan pasca-PKP.

Ini kerana, menurutnya, tidak banyak perkara yang boleh dilakukan semasa tempoh PKP selain menjalankan aktiviti perniagaan secara atas talian dan aktiviti-aktiviti ekonomi terhad yang dibenarkan.

Ditanya mengenai jangkaan beliau terhadap pemulihan ekonomi secara umum, Dr Yusof berkata ekonomi dalam tempoh pasca-PKP dijangka akan bergerak perlahan sehingga vaksin ditemui.


“Normal baharu dijangka akan memperlahankan ekonomi sehingga semua aspek normal baharu dapat diadaptasi,” katanya.

Berikutan itu, pelajar lepasan universiti dalam masa sama perlu optimis dalam menempuhi krisis ini sementara menunggu peluang pekerjaan yang ideal.

Berikut beberapa langkah perlu diberi perhatian oleh graduan di bandar.

1.  Bersedia menghadapi lanskap baharu ekonomi yang akan memberi impak kepada pasaran buruh seperti jadual kerja yang fleksibel dan penjarakan sosial.


2.  Mengenal pasti risiko pekerjaan akibat pandemik. Kepada mereka yang ingin mencari pekerjaan baharu, mereka perlu mengetahui sama ada pekerjaan tersebut berisiko tinggi atau tidak akibat pandemik.


3.  Kos sara hidup di bandar pasca COVID-19 dijangka akan lebih tinggi jika ekonomi tidak pulih sepenuhnya.


Jelas Dr Yusof, kerajaan juga memandang serius terhadap isu ini termasuk beberapa  bidang berkaitan graduan yang menjadi keutamaan kerajaan.

“Antara bidang yang menjadi keutamaan kerajaan ialah kualiti dan kebolehpasaran graduan, ketidakpadanan pekerjaan di antara permintaan oleh industri dan pengeluaran graduan oleh institusi pengajian tinggi, dan skim latihan sangkutan.

“Dalam masa sama, Kementerian Kewangan sedang merangka Pelan Pemulihan Ekonomi yang bersifat jangka pendek manakala Unit Perancang Ekonomi sedang merangka Pelan Reformasi (Reform Plan) ekonomi yang bersifat jangka masa sederhana dan panjang,” katanya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ADA APA-APA KE TUN DAIM DI RUMAH TERBUKA AZMIN?

NEGARA TETAP PERLUKAN RAFIZI, WALAUPUN KERAJAAN SEMASA TIDAK PEDULIKANNYA

Ustazah hilang akhirnya dijumpai di Kuala Kangsar