Habis manis sepah dibuang, Bersatu terus diugut dan dipinggirkan UMNO

Kenyataan Pemuda Umno Johor bahawa parti itu dan gabungannya tak terkesan jika ada usaha mensabotaj kerjasama Perikatan Nasional (PN) seperti tidak menghargai usaha dilakukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri ini.
Penolong Setiausaha Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Johor, Mahadzir Mat Zili berkata selama ini pembentukan PN hanyalah sekadar pelengkap untuk Umno memerintah semula.
“Mereka harus ingat pembentukan kerajaan hari ini adalah usaha sama dari parti Bersatu. Kenyataan itu seperti memperkecilkan peranan Bersatu sebagai komponen parti dalam PN di Johor.
“Dengan kenyataan Pemuda Umno (Johor) semalam jelas menunjukkan bahawa Bersatu terus diugut serta dipinggirkan seolah-olah Bersatu adalah parti Melayu yang tidak bermaruah,” kata Mahadzir ketika dihubungi.
Semalam, media melaporkan kenyataan Ketua Pemuda Umno Johor, Mohd Hairi Mad Shah bahawa parti itu atau gabungan BN tidak akan terkesan jika wujud usaha mensabotaj kerjasama PN di Johor.
“Sekali lagi ingin (kami) menegaskan sabotaj tidak akan memberikan apa-apa kesan kepada BN di Johor. BN, Umno mahupun Muafakat Nasional (MN) di Johor langsung tidak rugi dan terkesan,” kata Mohd Hairi.
Justeru itu kata Mahadzir, kenyataan Pemuda Umno Johor terhadap parti Bersatu itu tak ubah seperti perumpamaan ‘habis madu sepah dibuang’.
“Umno banyak mengetepikan hal yang sudah pasti mengguris hati pemimpin Bersatu peringkat bahagian dan cawangan. Contohnya perlantikan ketua kampung dan yayasan-yayasan yang banyak didominasi oleh Umno.
“Kedua parti (Bersatu dan Umno) ini sentiasa bersaing untuk menonjolkan diri sebagai parti Melayu, namun kenyataan Pemuda Umno semalam mempamerkan bahawa diri mereka sombong,” tambah beliau.
Beliau merakamkan rasa simpati terhadap mantan parti komponen PH itu yang seperti tidak diiktiraf di dalam PN hari ini walaupun telah mengorbankan jawatan Menteri Besar Johor untuk PN menubuhkan kerajaan di negeri ini.
“Bersatu kena sedar, Umno hanya menjadikan alat serta menutup ruang untuk Bersatu Johor berkembang dan membuatkan parti itu hilang arah.
“Demi menjamin masa depan Bersatu, masanya sudah tiba pertimbangan sebenar harus dilakukan oleh Bersatu kerana Umno kini tidak boleh diharapkan lagi,” katanya lagi.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu