Kudeta: Dari parti utama, Bersatu kini 'underdog' di Johor

Dua bulan selepas mengambil alih kuasa, keretakan sudah kelihatan dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) dengan perselisihan antara Bersatu dengan Umno di Johor.
Bagi adun Bukit Batu daripada PKR Jimmy Puah, ia adalah balasan terhadap Bersatu kerana mengabaikan rakan-rakannya dalam PH dan mandat pengundi pada PRU lalu.
Umno Johor didakwa mendominasi jawatan dalam kerajaan negeri dan badan-badan berkaitan, dan ia membangkitkan rasa tidak puas hati pemimpin Bersatu.
Setiausaha Bersatu Johor Solihan Badri ketika mengulas soal pelantikan "penyelaras" di kawasan Parlimen pembangkang, membangkitkan bagaimana penyelaras dari partinya ditempatkan di kerusi Maharani, Mahkota, Johor Jaya, Kota Iskandar, Pekan Nanas, Jementah dan Bukit Batu.
Kebanyakan kerusi tersebut adalah kawasan campuran yang tidak memberi kelebihan kepada parti berasaskan Melayu seperti Bersatu.
Pemerhati menyatakan keadaan itu menunjukkan parti tersebut, yang diasaskan Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin yang kini tidak berada di pihak yang sama, tiada pengaruh dalam PN.
Puah berkata Bersatu tiada suara dalam hal itu kerana Umno - sebagai parti paling kuat dalam PN Johor - akan mengutamakan kerusi yang boleh menang.
"Dahulu Umno adalah parti nombor satu. Mereka tidak akan mahu jadi nombor dua. Saya fikir Umno Johor sudah putuskan kerusi yang mereka selesa dan berikan semua 'tugasan mencabar' kepada Bersatu?
"Kenapa tidak gembira? Itu adalah pilihan mereka.
"Mereka boleh kekal sebagai kerajaan PH seperti Kedah, dan pertahan mandat rakyat. Tetapi mereka pilih Umno dan hilang kedudukan MB dan modal politik mereka," katanya kepada Malaysiakini.
Berkenaan kerusi Parlimen yang diberikan kepada penyelaras Bersatu, Puah yakin Bersatu perlu bergantung kepada BN untuk sokongan pengundi.
"Kebanyakan kerusi mereka seperti Kempas, Bukit Permai dan Larkin tak akan dimenangi tanpa kekuatan kolektif PH. Saya rasa mereka sendiri tahu perkara ini.
"Misalnya di Bukit Batu, 58 peratus pengundi adalah Cina. Adakah Bersatu yakin untuk bertanding di kerusi itu tanpa sokongan PH?" soalnya.
Jadi 'underdog' dalam PN
Adun Kota Iskandar Dzulkefly Ahmad berkata beliau yakin bahawa Umno yang membuat keputusan di Johor, bukannya Bersatu.
Adun Amanah itu berkata, Bersatu hanya memiliki 11 kerusi Dun (termasuk tiga dari bekas adun Umno) berbanding BN yang memiliki 16 kerusi - iaitu 14 oleh Umno dan dua oleh MIC.
Menurut Dzulkefly, sukar bagi Bersatu, Umno atau PAS untuk menang di 14 kerusi dipegang DAP, maka mengurangkan sasaran yang boleh dimenangi mereka kepada 13 kerusi PKR dan Amanah.
"Daripada 13 kerusi ini, Bersatu hanya dapat tiga - Maharani, Mahkota dan Kota Iskandar. Selebihnya dijangka diberi kepada Umno dan PAS.
"Jadi Umno akan tetap jadi parti dominan dalam PN Johor kerana Bersatu hanya boleh menang paling banyak 14 kerusi. Inilah percaturan Umno sebenarnya," katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Adun Jementah daripada DAP Tan Chen Choon berkata beliau tidak tahu sebab Bersatu diperuntukkan kerusinya.
"Mungkin Bersatu rasa mereka ada peluang lebih tinggi untuk menang di Jementah," katanya secara berseloroh.
Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan Umno sengaja memberikan kerusi sukar kepada rakan barunya.
"Ditambah dengan hakikat mereka kehilangan jawatan MB. Bersatu kini 'underdog'," katanya lagi.
Selain itu, beliau juga membangkitkan pertindihan dari segi kerusi antara tiga parti berasaskan Melayu - iaitu Bersatu, Umno dan PAS - yang akan menyukarkan proses rundingan kerusi nanti.
Beliau juga membangkitkan soal Jementah yang merupakan kerusi tradisi MCA sebelum ini. "Bersatu ada penyelaras di sini. Adakah ini bermakna MCA telah lepaskan kerusi ini kepada Bersatu?"
'Kembali kepada PH'
Adun Maharani daripada Amanah Norhayati Bachok pula menggesa Bersatu kembali kepada PH untuk mewujudkan gabungan yang lebih kuat.
"Inilah masa yang baik untuk Bersatu serta PH bermuhasabah semula dan membina ukhuwah dalam memacu negeri ini mengikut cara seperti sebelum ini," katanya.
Terdahulu hari ini, Malaysiakini memetik sumber Umno Johor sebagai berkata jika Bersatu terus memberi tekanan untuk jawatan politik, ia mungkin akan menyebabkan pilihan raya negeri diadakan tidak lama lagi.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ADA APA-APA KE TUN DAIM DI RUMAH TERBUKA AZMIN?

NEGARA TETAP PERLUKAN RAFIZI, WALAUPUN KERAJAAN SEMASA TIDAK PEDULIKANNYA

Ustazah hilang akhirnya dijumpai di Kuala Kangsar