Ada menteri Bersatu pernah label Muhyiddin 'gila jawatan' - Syed Saddiq
Ketua Pemuda Bersatu (Armada) yang kini dipertikaikan, Syed
Saddiq Syed Abdul Rahman, mendakwa sebelum pilihan raya umum (PRU) lalu
seorang menteri pernah mengajak datang ke pejabatnya untuk mempelawa
agar beliau meninggalkan parti berkenaan.
Selain itu, kata Syed
Saddiq, menteri terbabit - ketika itu merupakan anggota Majlis Tertinggi
(MT) Umno - juga mendakwa Muhyiddin Yassin seorang ahli politik yang
kemaruk mahu menjadi perdana menteri.Bagaimanapun, selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya menawan Putrajaya, kata Syed Saddiq, menteri Umno terbabit menyertai Bersatu pula dan kini dilantik menjadi menteri.
“Saya ingat lagi, sebelum PRU ke-14, salah seorang menteri jumpa dengan saya dan cuba untuk tarik saya keluar dari Bersatu (dan individu tersebut)tidak lain tidak bukan adalah orang yang sama yang mengepelai Bersatu sekarang ini untuk membuang Tun (Dr Mahathir Mohamad).
“[...] (Beliau) memanggil saya ke pejabat dia dan bila berjumpa, dia juga yang tengah berkuasa (sebelum PRU ke-14) berkata bahawa Muhyiddin gila jawatan nak jadi perdana menteri. Sebab itu dia (Muhyiddin) masih menyerang Najib Razak (pada ketika itu).
“Malangnya orang ini sekarang diberi kuasa besar untuk tentukan hala tuju Bersatu,” katanya pada sidang media pimpinan Armada di Putrajaya hari ini.
Untuk rekod, sebelum Bersatu ditubuhkan, Muhyiddin merupakan timbalan presiden Umno manakala Najib menjadi presiden sekali gus perdana menteri.
Muhyiddin dipecat dari Umno pada 2016 kerana lantang mempersoalkan tindakan Najib berhubung skandal 1MDB. Beliau kemudian menyertai gerakan anti-Najib yang turut membabitkan Dr Mahathir Mohamad.
Mereka kemudian menubuhkan Bersatu dengan Mahathir menjadi pengerusi manakala Muhyiddin dilantik sebagai presiden. Bagaimanapun ketika ini hubungan kedua-dua mereka tegang ekoran langkah yang diambil Muhyiddin untuk meninggalkan PH dan bekerjasama dengan Umno.
Malaysiakini sudah cuba menghubungi menteri yang dinyatakan Syed Saddiq dan masih menunggu respons beliau.
Syed Saddiq adalah seorang daripada lima anggota parlimen yang diisytihar Bersatu sebagai tergugur keanggotaan mereka dalam parti baru-baru ini.
Sementara itu Syed Saddiq juga mengingatkan Muhyiddin agar supaya tetap menghargai "rakan" sama ada sewaktu berdepan masa sukar atau ketika senang.
“[...] Saya nak ingatkan Muhyiddin bahawa ingatlah rakan kamu dalam keadaan susah dan senang, dan siapa yang tinggalkan kamu dan tikam di belakang sehingga tiada kuasa sampai melabel kamu sebagai seorang yang gila jawatan,” katanya lagi.
Ulasan
Catat Ulasan