Nurul Izzah desak lagi pembaharuan institusi penjara

Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar menggesa kerajaan mengubah suai dan memperbaharui sistem penjara di Malaysia, khususnya membabitkan tahanan berpendapatan rendah yang dimasukkan ke penjara kerana jenayah ringan.
Kata Nurul Izzah ketika ini terdapat jumlah banduan yang lebih tinggi berbanding kapasiti penjara.
“Sistem penjara di Malaysia mempunyai kapasiti menampung 52,000 tahanan, tetapi jumlah yang ditahan melebihi 80,000 orang.
“Masalah ini bersabit dengan banyak kes membabitkan tahanan berpendapatan rendah dihumban ke dalam penjara atas jenayah ringan seperti mencuri Milo, sardin.
“[...] Oleh itu, saya berharap menteri dalam negeri melaksanakan pelan tindakan reformasi penjara yang telah disiapkan oleh Jabatan Penjara Malaysia; bertemakan rehabilitation investment,” katanya semasa mengambil bahagian dalam perbahasan usul titah diraja hari ini.
Untuk rekod Nurul Izzah memang menjadi seorang daripada pemimpin politik yang lantang bersuara untuk menggesa perubahan sistem penjara dilakukan di negara ini sejak dulu lagi.
Pada 2018, dia menjelaskan pembaharuan sistem penjara perlu dilaksanakan dan ia sepatutnya menjadi sebahagian daripada agenda kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Nurul Izzah turut menyorot bahawa bekas menteri dalam negeri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini pernah menyebutkan pembaharuan penjara di parlimen namun tiada kesungguhan politik untuk melaksanakan perkara berkenaan di bawah pentadbiran BN.
Selain itu, dia berkata pembaharuan sistem itu perlu kerana ramai orang yang didakwa di mahkamah tidak mampu untuk mengupah peguam untuk membela mereka dalam perbicaraan.
“Ramai tidak mampu untuk mengupah khidmat peguam, dan akhirnya lebih berkemungkinan disabitkan kesalahan yang lebih berat daripada sepatutnya hanya kerana mereka berada dalam kedudukan sosioekonomi yang lebih rendah.
“Sebagaimana yang disebut semalam oleh MP Puchong, sistem keadilan jenayah (sekarang lebih banyak) menghukum orang miskin,” katanya lagi.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu