Rasuah: Pemegang amanah Yayasan Akalbudi terima lebih RM66 juta dari syarikat, individu - Saksi
Akauntan firma guaman itu, V. Sothilechmy, 67, berkata, pemilik Lewis & Co, B. Muralidharan mengarahkannya supaya memasukkan cek ke dalam akaun bank firma guaman itu sebelum memindahkan wang tersebut ke dalam dua akaun simpanan tetap.
"Beberapa pembayaran dilakukan melalui dua akaun simpanan tetap itu antaranya, untuk pembelian dua lot tanah dan bayaran kepada Yayasan Akalbudi," katanya ketika membaca penyataan saksi pada hari ke-30 perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit membabitkan Yayasan Akalbudi yang dihadapi bekas timbalan perdana menteri itu.
Tetuan Lewis & Co mempunyai dua rakan kongsi iaitu Muralidharan dan V Premshangar.
Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fat semasa pemeriksaan utama, sama ada individu dan syarikat yang memberi cek lebih RM66 juta tersebut merupakan klien Lewis & Co, saksi itu menjawab "bukan".
Lee: Adakah Datuk Seri Zahid klien Lewis & Co?
Sothilechmy: Ya, klien Lewis & Co.
Saksi pendakwaan ke-85 itu juga bersetuju dengan Lee bahawa Yayasan Al-Falah yang dimiliki ahli keluarga Ahmad Zahid, merupakan klien firma guaman tersebut.
Sebelum ini, saksi pendakwaan ke-66, Faisalludin Mohamat Yusuff memberitahu mahkamah bahawa Ahmad Zahid menyumbang RM5.9 juta kepada Yayasan Al-Falah, organisasi yang adiknya, Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi adalah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, bagi pembelian dua buah banglo di Country Heights.
Ahmad Zahid, 67, berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, 12 pertuduhan pecah amanah membabitkan dana Yayasan Akalbudi dan lapan pertuduhan rasuah.
Ulasan
Catat Ulasan