DEMI MEMULIAKAN TITAH AGONG, USUL UNDI TAK PERCAYA SEPATUTNYA DIDAHULUKAN SEBELUM BELANJAWAN DIBENTANGKAN
Sebagaimana dilaporkan media, terdapat 25 usul undi tidak percaya dan 2 usul undi percaya telah dikemukakan oleh Ahli-Ahli Parlimen untuk Sidang Dewan Rakyat bermula 2 November depan.
25 usul undi tidak percaya itu dikemukakan oleh wakil rakyat blok pembangkang, manakala 2 usul percaya pula datang daripada blok kerajaan.
Ini bererti, baik pembangkang atau kerajaan, kedua-duanya mahu soal keabsahan kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri perlu segera ditentukan agar tidak berlaku lagi pertikaian di lain masa.
Begitu pun, dalam amalan lazim Parlimen, usul-usul persendirian sebegini tidak akan diberi keutamaan, melainkan setelah semua usul kerajaan selesai dibentangkan terlebih dahulu.
Dengan kata lain, adalah mustahil laluan boleh diperolehi untuk usul persendirian kerana usul kerajaan tidak akan habis sehingga hari kiamat sekali pun.
Kalau hampir habis pula, ada saja usul baru yang tiba-tiba muncul.
Tanpa kedudukannya Perdana Menteri dapat disahkan terlebih dahulu, apatah lagi Muhyiddin sendiri beberapa lagi menunda dan mengubah tarikh Sidang Parlimen, ia adakah suatu tindakan yang jelas menunjukkan beliau tiada majoriti.
Selain itu, dari semasa ke semasa juga terlihat semakin ramai Ahli Parlimen blok kerajaan sendiri mula bosan dengannya, dengan itu soal keabsahan beliau tidak boleh lagi dibiarkan terus berpanjangan.
Dalam bahasa yang mudah, untuk memastikan kerajaan yang stabil, tidak celaru dan dapat berfungsi dengan sewajarnya, mesti ada kata putus yang muktamad di Parlimen berhubung keabsahan Perdana Menteri.
Dengan pelbagai halangan untuk mengesahkan kedudukan Muhyiddin sejak lapan bulan lalu, maka wujud kecenderungan di kalangan Ahli- Ahli Parlimen untuk menjadikan pengundian Belanjawan 2021 pada Sidang Dewan Rakyt akan datang sebagai pilihan ke arah itu.
Jika belanjawan ditolak, bermakna kerajaan, bersekali dengan Muhyiddin, akan turut jatuh dan masuk parit bersama.
Menyedari gugatan itu, Muhyiddin kemudian mencadangkan perisytiharan darurat yang segmen utamanya ialah menggantung Parlimen dan mengelakkan belanjawan diundi.
Bagaimanapun, cadangan yang dipersetujui kabinet itu ditolak oleh Agong setelah mendapat pandangan Majlis Raja-Raja.
Dua hari lalu, sesuatu yang mengejutkan dan tidak pernah berlaku telah muncul di mana Agong mengeluarkan titah agar Ahli-Ahli Parlimen menyokong dan meluluskan pengundian Belanjawan 2021.
Oleh kerana titah itu dikeluarkan selepas Muhyiddin mengadap Agong di Istana Negara bagi memenuhi jadual rutin sebelum menyuarat kabinet, ramai yang beranggapan bahawa Muhyiddin mungkin telah mengadu mengenai kedudukannya yang genting kepada baginda atau merayu agar talian hayat diberikan kepadanya.
Sementara blok kerajaan pastinya menarik nafas lega dengan titah tersebut, Ahli Parlimen blok pembangkang ternampak agak keberatan untuk akur begitu saja.
Rata-ratanya berpendapat, Agong hanya boleh memberi saranan agar Belanjawan 2021 disokong, tetapi tidak boleh sampai memaksa.
Sebab itu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasituon menyebut, titah Agong harus dijunjung dengan cara Belanjawan 2021 itu diteliti, dikaji dan dibahas terlebih dahulu, kemudian barulah diputuskan sama ada untuk menyokong atau sebaliknya.
Terdapat juga Ahli Parlimen blok pembangkang lain yang berpendapat, mereka tidak seharusnya ditekan, dipengaruhi atau dikongkong dalam menyatakan pendirian berhubung Belanjawan 2021 sebelum ia dibentangkan.
Gambaran awal ini memperlihatkan, belum ada jaminan Belanjawan 2021 akan disokong sepenuhnya dan ini bukan bermakna Ahli-Ahli Parlimen ingkar kepada titah Agong atau tidak mengutamakan rakyat dengan enggan menyokong belanjawan, tetapi kerana di sebalik sokongan itu ia bererti mengekalkan lagi kedudukan Muhyiddin yang diragui keabsahannya.
Sebagai jalan tengah dalam hal ini, sementelah pula banyak usul undi tidak percaya dan usul undi percaya telah dikemukakan oleh Ahli-Ahli Parlimen, adalah penting untuk Speaker Parlimen mengambil langkah objektif dengan membenarkan salah satu usul tersebut dikemukakan sebelum belanjawan dibentangkan.
Walaupun ada 25 usul tidak percaya dan 2 usul percaya, salah satu daripadanya sudah memadai untuk dipilih kerana kesemuanya itu memberi maksud yang sama iaitu cukup untuk menentukan keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Jika Muhyiddin berjaya melepasi halangan usul itu, maka bukan saja kedudukannya tidak lagi menjadi pertikaian, bahkan tidak berbangkit lagi sama ada Belanjawan berdepan masalah untuk diluluskan atau tidak.
Kalau gagal, Muhyiddin haruslah berundur dan menerima ketentuan Tuhan dengan hati yang terbuka untuk negara yang dicintai ini ditadbir seterusnya oleh seorang Perdana Menteri yang baru.
Yang lebih penting, dengan mendahulukan usul tidak percaya atau percaya ini, dapat sama menjadikan titah Agong berkaitan kelulusan Belanjawan 2021 disokong dan dimuliakan sepenuhnya.
Selain Muhyiddin kena ada keberanian membenarkan perkara itu dilaksanakan, ini juga juga penentuan kepada jati diri dan intergriti Azhar Azizan Harun sebagai Speaker Parlimen di mana sebelum dilantik ke jawatan tersebut, beliau pernah memberi kenyataan bahawa usul undi tidak percaya mesti diberi keutamaan berbanding usul-usul lain berdasarkan nilai kepentingannya.
Sekarang, sudah duduk di kerusi Speaker, bila lagi mahu jadi manusia yang bikin seperti apa pernah dikata?
Ulasan
Catat Ulasan