Hilang majoriti dan Isytihar darurat, usaha merompak hak perlembagaan di siang hari


Semalam 24/10/2020 Menteri Wilayah Persekutuan ada buat posting seperti di bawah (hari ini dah tiada pula posting itu). Mungkin langgar protokol kerajaan untuk minta nasihat populis daripada rakyat sedangkan Kamar Peguam Negara masih wujud dan justeru dinasihati untuk deletekan posting itu. Nasib baik tiada Error 404 dikeluarkan oleh facebook. Apa pun sepatutnya sebagai Menteri mesti konsisten untuk pertahankan kenyataan sendiri.

Isu yang dibangkitkan adalah menggunakan perisytiharan darurat sebagai alasan untuk menangguhkan pilihan raya Batu Sapi di Sabah dan PRN Sarawak.

Alasan COVID-19 tidak patut dijadikan alasan untuk menangguhkan pilihan raya. Hak rakyat setempat untuk diwakili tidak patut dilengah-lengahkan.

Menggunakan alasan statistik COVID-19 meningkat kerana berlaku pilihan raya adalah tidak tepat. Pilihan raya tidak meningkatkan pesakit Covid. Yang meningkatkan pesakit Covid adalah kempen pilihan raya raya apabila petugas parti ke sana dan ke sini tanpa mengikut SOP. Justeru, semasa Covid ini SPR dan PDRM boleh untuk tidak mengeluarkan permit kempen atau berhimpun untuk berkempen.

Selain itu, gunakanlah Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 khasnya berkaitan peraturan yang mendefinisikan siapakah pengundi pos itu. Peraturan 3(e) Peraturan Pengundian Pos itu memberikan kuasa kepada SPR untuk mewartakan siapakah pengundi pos itu. Cadangan saya adalah supaya SPR mewartakan semua pengundi Batu Sapi sebagai pengundi pos dan SPR kemudiannya boleh menghantar sampul pengundi pos itu kepada semua pengundi. Dengan itu, tiada lagi pengundian fizikal perlu dilakukan.

Mungkin ada pihak yang mempertikaikan ketelusan undi pos. Undi pos ini ada mekanisme tersendiri untuk mengelakkan penipuan dan pembelian undi. Apa pun, cadangan ini adalah berbentuk sementara bagi tempoh Covid ini sahaja bagi PRK Batu Sapi.

Langkah yang lebih drastik adalah menggubal Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Digital) 2020. Melalui peraturan ini kelak akan memberikan kuasa kepada SPR untuk mengendalikan pengundian secara elektronik.

Pengundian secara elektronik boleh menjimatkan masa pengundian dan masa pengiraan undi. Keputusan pilihan raya boleh diketahui dalam tempoh beberapa minit setelah proses pengundian ditutup dan boleh dipancarkan secara langsung di televisyen untuk menjamin ketelusan.

Kod rahsia pengundian secara elektronik boleh dihantar ke telefon pengundi sama seperti yang kita gunakan sekarang dalam sistem perbankan digital. Apakah selama ini ada sesiapa yang komplen kehilangan wang akibat transaksi perbankan secara online? Berbillion setiap hari wang bertukar tangan dan berjuta transaksi satu hari dilakukan tetapi tiada pun komplen kehilangan wang. Ini menunjukkan integriti sistem perbankan online yang boleh dipelajari oleh SPR.

Saya jangkakan kos untuk electronic voting ini adalah hanya 30% daripada belanja untuk sistem pengundian secara fizikal kerana kos logistik, hotel, makan minum, kertas dapat dijimatkan secara maksima. Ini penjimatan besar bagi kerajaan yang perlu mengeluarkan belanja hampir 2 billion untuk PRU-15.

Isu sebenar mengenai electronic voting adalah ‘trust’ sama ada undi itu dapat dimanipulasikan atau tidak. Bagi saya isu itu boleh diselesaikan sekiranya ada audit trail dilakukan dan penggunaan sistem kripto.

Isu ketiga yang dibangkitkan oleh Menteri Wilayah adalah cubaan untuk mengemukakan undi tidak percaya. Undi tidak percaya itu adalah sebahagian daripada perlembagaan. Kenapa perlu takut dengan undi tidak percaya. Jika sudah tahu majoriti ahli dewan tidak percaya maka cara terbaik adalah meletakkan jawatan dan bukan mempertahankan jawatan atas nama darurat. Ini namanya merompak hak perlembagaan di siang hari.

Kalau sudah diundi tidak percaya, jalannya adalah meletakkan jawatan. Permintaan untuk pembubaran itu hanyalah pilihan dan jika YDPA tidak berkenan maka tiada pembubaran. Bila tiada pembubaran maka tiada isu berkaitan pilihan raya umum.

Usah ditekan YDPA untuk membubarkan Parlimen tatkala Covid ini masih mengancam. Kasihanilah rakyat dan letakkan jawatan secara bermaruah. Hidup belum berakhir bagi anda jika ditakdirkan tidak lagi menjadi menteri.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu