JIKA TAK SEGERA LETAK JAWATAN, MUHYIDDIN AKAN DITIMPA KEHINAAN TUJUH KETURUNAN
Seluruh rakyat, kecuali segelintir pentaksub buta kepada Muhyiddin Yassin, hari ini semuanya mengucap syukur kepada Tuhan dan menjunjung kasih terhadap Yang Dipertuan Agong atas keputusan baginda menolak cadangan darurat oleh Perdana Menteri.
Bagi rakyat, keputusan Agong setelah mengadakan mesyuarat dengan Majlis Raja-Raja petang tadi adalah pendirian paling bijaksana yang mampu memberi kelegaan tanpa hadnya.
Akhirnya, ternyata kedudukan Raja-Raja sebagai payung kepada rakyat jelata tidak lagi dapat dinafikan peranan dan keunggulannya.
Tidak terbayang oleh mereka yang waras bagaimana Muhyiddin, demi takut hilang kuasa setelah sedar majoritinya sudah tiada, sanggup terfikir untuk menguatkuasakan darurat yang pasti akhirnya rakyat terbanyak akan menanggung sengsaranya.
Dengan kehidupan sekarang akibat wabak Covid19 ini pun ramai yang jadi susah dan hilang kerja, tak terjangkau dek akal untuk memikirkan kehidupan seterusnya setelah ekonomi lumpuh, perniagaan mati dan pelabur dalam serta luar negara mengambil keputusan menjauhi pasaran.
Sepatutnya, selain melaksanakan darurat merupakan idea jahat, ia juga seharusnya menjadi pilihan terakhir yang boleh dipersetujui oleh Muhyiddin.
Apatah lagi, semua orang sedar tujuan darurat itu hanya untuk menggantung Parlimen dan membolehkan beliau bertahan di takhta kuasa dengan lebih lama.
Dalam sistem demokrasi, tiang serinya ialah undi majoriti dan pemimpin yang sedar tiada lagi sokongan majoriti, langkah terbaik yang mesti diambil ialah berhenti.
Namun, Muhyiddin yang konon pandai membaca doa, rupa-rupanya tidak mahu menerima hakikat qada dan qadar sokongan tidak lagi memihak kepadanya.
Mungkin atas nasihat dan pengaruh dua tiga orang kanannya menyebabkan idea darurat itu cuba dikemukakan untuk mendapat perkenan daripada Agong.
Tetapi, sementara rakyat tidak bodoh untuk diperdaya, Agong dan Raja-Raja pula tentulah jauh lebih bijaksana untuk menilai, menimbang dan memperhalusi sebelum cadangan yang dikemukakan itu hendak dipersetujui.
Dengan penolakan Agong bahawa tiada keperluan untuk darurat dilaksanakan, Muhyiddin dan pengampu-pengampunya dalam kabinet kini harus sedar diri dan berasa malu kepada diri mereka sendiri.
Cadangan darurat yang dikemukakan terbukti tiada asas dan keperluan sama sekali untuk dilaksanakan dan penolakan terhadapnya berjaya meletakkan kedudukan Raja-Raja kekal terpelihara.
Ini juga bermakna, disebabkan cadangan daruratnya ditolak oleh Agong, Muhyiddin sudah hilang kelayakan sebagai ketua ketajaan untuk memberi nasihat yang baik-baik kepada baginda demi kepentingan negara.
Dalam hal ini, khususnya Muhyiddin, jalan terbaik baginya ialah segera meletakkan jawatan tanpa membuang banyak masa.
Tiada tempat lagi untuk beliau berlindung dan cubaannya menjadikan Agong sebagai pelindung kepada kedudukannya ternyata tidak berjaya.
Sekarang, jika masih enggan meletakkan jawatan, Muhyiddin terpaksa berdepan dengan pengundian Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November depan.
Jika usul undi tidak percaya, boleh juga beliau bermain silap mata melalui tindakan Speaker yang tidak memberi ruang ia dikemukakan atas alasan usul persendirian hanya boleh diusulkan setelah selesai semua usul kerajaan, namun pengundian usul belanjawan tidak lagi dapat dielakkan sama sekali.
Berdasarkan beberapa pemimpin UMNO sendiri sudah menolaknya kini, adalah sukar usul tersebut untuk beroleh kemenangan.
Yang lebih buruk, jika usul belanjawan ditolak, bukan sekadar Perdana Menteri yang jatuh, malah kerajaan juga turut tumbang.
Lebih daripada itu, dijatuhkan bersama kerajaan melalui penolakan usul belanjawan sudah tentu lebih memberi malu dan kehinaan kepada Muhyiddin sehingga tujuh keturunan keluarga akan terkesan badinya.
Malah, negara akan terjerumus dalam kemelut politik sekali lagi.
Untuk itu, jalan paling selamat dan terbaik iaitu agar maruahnya tidak koyak rabak, Muhyiddin harus – malah mesti – meletak jawatan sesegera yang boleh sebelum Sidang Parlimen bermula 2 November akan datang.
Selepas itu, serahkanlah kepada Agong memilih pengganti Perdana Menteri berdasarkan siapa yang ada sokongan majoriti.
Lagi pun, besar benar malunya kalau sampai dijatuhkan semata-mata kerana enggan mengundur diri secara budiman demi kemaruk kuasa, walau seantero dunia sudah lama tahu sokongan majoritinya telah tiada.
Ulasan
Catat Ulasan