Mesyuarat dengan Muhyiddin dibatalkan, kata ketua menteri P Pinang
GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, mesyuarat pemimpin negeri dengan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin esok sudah dibatalkan.
Berita pembatalan itumenyusul laporan beberapa kenderaan VIP tiba di kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara malam ini.
Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg juga dipercayai membatalkan rancangannya ke Kuala Lumpur untuk mesyuarat pada 9.30 pagi esok yang dirancang Muhyiddin sejurus selepas perbincangan khas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dengan raja-raja Melayu petang tadi.
Istana Negara kemudiannya mengumumkan permintaan kerajaan untuk pengisytiharan darurat ditolak Agong. Kerajaan memohon darurat diisytiharkan untuk menangani lonjakan kes Covid-19 baru-baru ini dan juga atas nama kestabilan politik.
Sebelum istana mengumumkan keputusan Agong, Chow memberitahu FMT, beliau akan menghadiri mesyuarat pada 9.30 pagi esok dengan perdana menteri.
Bagaimanapun, sumber memberitahu FMT malam ini, Chow sudah membatalkan rancangan itu, begitu juga Abang Johari.
Tiada alasan diberikan pada awalnya, tetapi Chow kemudian memberitahu FMT, beliau membatalkan rancangan ke KL kerana pertemuan esok sudah dibatalkan.
Di Kuching, pejabat ketua menteri Sarawak mengeluarkan undangan kepada media untuk sebuah majlis yang akan dihadiri Abang Johari di Sematan.
Sultan Abdullah dan raja-raja Melayu mengadakan perbincangan khas petang tadi.
Susulan itu, Agong mengumumkan tiada keperluan mengisytiharkan darurat di mana-mana kawasan dalam negara.
Agong turut mengingatkan ahli politik untuk berhenti berpolitik bagi mengelakkan kestabilan negara terjejas dan menekankan kepentingan Belanjawan 2021, yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 Nov ini, kepada rakyat dalam menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Ulasan
Catat Ulasan