1MDB-Goldman Sachs: Klausa kerahsiaan bukan 'cara mudah' sekat akses kepentingan awam..!!
Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) menzahirkan kebimbangan terhadap
ketelusan dan tanggungjawab kerajaan untuk tidak mendedahkan perincian
perjanjian penyelesaian antara Goldman Sachs Group Inc (Goldman Sachs)
dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah AS$1.4 bilion, atas
faktor "klausa kerahsiaan".
Selain
itu, Pengarah Eksekutifnya, Wathshlah G Naidu berkata CIJ turut
mempersoalkan keputusan kerajaan mengadakan perjanjian tersebut, dengan
memasukkan klausa kerahsiaan yang dianggap CIJ boleh menghalang
pendedahan.
"Sudah
tentu kerajaan dan para pemain sedar bahawa perjanjian seperti itu akan
merosakkan kepentingan awam, akauntabiliti dan ketelusan kerana ia
bermaksud kandungan perjanjian mungkin tidak boleh diakses oleh
masyarakat.
"Ini sangat berkait dengan unsur penyelewengan yang berlaku di dalam 1MDB, yang mana telah menjadi kepentingan awam.
"Tambahan pula, syarat kerahsiaan yang sah biasanya akan meliputi maklumat penting yang tidak boleh didedahkan (non-disclosure of information)
bagi rundingan berhubung syarat-syarat perjanjian, dan ia terbatas
sepanjang tempoh rundingan," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Terdahulu,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk
Takiyuddin memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa kerajaan tidak boleh
mendedahkan perincian perjanjian penyelesaian antara 1MDB dan Goldman
Sachs kepada Ahli Parlimen kerana dikekang dengan terma kerahsiaan.
Jelas Ahli Parlimen Kota Bharu itu, ia selari permohonan yang dikemukakan Goldman Sachs dalam proses penyelesaian berkenaan.
Pada
Julai lalu, Goldman Sachs dikehendaki membayar AS$2.5 bilion (RM10.5
bilion), selain memberi jaminan untuk mengembalikan aset 1MDB bernilai
AS$1.4 bilion (RM5.9 bilion) yang disita oleh pihak berkuasa di seluruh
dunia, sebagai pertukaran untuk Malaysia menggugurkan pertuduhan
terhadap bank berkenaan.
Mengulas
lanjut, Wathshlah berkata, kerahsiaan tidak boleh digunakan sebagai
"cara mudah" untuk menyekat orang awam mengakses perkara-perkara
kepentingan awam.
Beliau menambah,
menteri juga dalam jawapan balas gagal memberikan justifikasi jika
kepentingan awam diambil kira ketika klausa kerahsiaan dipersetujui.
Justeru Wathshlah menggesa kerajaan supaya tidak menggunakan "kerahsiaan" sebagai cara mengekang hak kebebasan bersuara.
Ulasan
Catat Ulasan