Dominasi ahli politik veteran halang pemimpin muda daripada menyerlah?
Tatkala semakin banyak negara menyaksikan kemunculan pemimpin-pemimpin
muda menerajui negara masing-masing, di Malaysia pula barisan pemimpin
muda masih belum menyerlah atau terus dibayangi pemimpin golongan
veteran.
Sanna Marin pada usia 34 tahun
menjadi perdana menteri termuda di dunia dengan menerajui kerajaan
baharu Finland pada Disember 2019. Wanita itu merupakan antara semakin
ramai perdana menteri di bawah usia 40 tahun selain Perdana Menteri New
Zealand Jacinda Ardern, 39, Oleksiy Honcharuk, 36, (Ukraine) dan Kim
Jong Un, 35, (Korea Utara).
Untuk
rekod, pemimpin-pemimpin kanan di negara ini berada dalam lingkungan
umur 65 hingga 95 tahun. Pemimpin paling veteran dan masih aktif adalah
bekas perdana menteri dan Presiden Parti Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad
yang kini berusia 95 tahun, diikuti pemimpin veteran UMNO Tengku
Razaleigh Hamzah, 81, yang dilihat sebagai antara 'key player' dalam
kemelut politik masa kini 'siapa ada majoriti di Dewan Rakyat'.
Kesemua
yang lain juga bukan muda. Perdana Menteri dan Presiden Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin berusia 73 tahun,
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (67), Presiden Parti
Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim (73), Presiden PAS Datuk
Seri Abdul Hadi Awang (72) dan Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad
Sabu (66).
Walaupun
terdapat ramai pemimpin muda yang aktif, antaranya Menteri Sains,
Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin (44), Timbalan Menteri Kewangan
Mohd Shahar Abdullah (39), bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq
Syed Abdul Rahman (27), bekas Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan yang
lain, namun mereka ini tidak diketengahkan dan masih dibayangi pemimpin
veteran politik.
Wujud realisasi akan
ketandusan jiwa muda dalam arena politik negara yang menyebabkan
beberapa pemimpin muda termasuk Syed Saddiq cuba menyerlahkan pembabitan
golongan muda dalam politik melalui platform politik MUDA. Tetapi
mampukah mereka membawa perubahan.
Penganalisis
politik, Dr Syahruddin Awang Ahmad berkata fenomena dominasi 'kuda tua
politik' ini berkait rapat dengan pengaruh elit politik dan bersifat
paternalistik, iaitu masih mahu kekal sebagai idola dalam parti dan
arena politik yang menyebabkan pemimpin muda atau pelapis gagal mendapat
tempat bagi menggantikan pemimpin politik veteran berkenaan.
Penyelidik
Geo-Politik dan Elektoral Sabah (GeOpeS) Universiti Malaysia Sabah
(UMS) itu berkata faktor kedua pula adalah budaya politik Malaysia yang
masih mengikat pemikiran ahli parti dan pemimpin parti pertengahan
(semua parti di Malaysia) agar akur dengan pemimpin veteran.
"Tanggapan
ini adalah bahawa pemimpin veteran masih ada 'sengat', diingati jasa
baktinya, malah paling tidak wajar pula, ada pemikiran yang bersifat
beralah kerana mengganggap pemimpin veteran ini ada aura. Kalau mereka
ditiadakan dalam radar politik tanah air akan menyebabkan suasana
politik menjadi tidak stabil," katanya kepada Bernama.
Justeru,
beliau berkata pemimpin muda perlu bangkit dan bersuara menyatakan
bahawa politik sebenar menyentuh aspirasi rakyat selain mencari jalan
untuk membujuk pemimpin veteran dan ahli parti agar membuat perubahan
360 darjah daripada segi kepimpinan dan budaya politik agar sesebuah
parti malah kerajaan yang memerintah, kekal relevan mengikut perubahan
arus masa dan zaman.
Sementara itu, Felo
Kanan Majlis Profesor Negara (MPN) Dr Jeniri Amir menyifatkan golongan
muda kurang mendapat kedudukan dan tempat dalam landskap politik negara
dan ini berkemungkinan kerana rata-rata parti politik kurang
berkeyakinan serta percaya terhadap kepimpinan orang muda.
"Apa
yang berlaku hari ini adalah kesan daripada kepimpinan terdahulu. Ini
adalah hasil 10 hingga ke 15 tahun lepas apabila mereka tidak melibatkan
orang muda dalam arena politik, tiada peluang diberikan untuk mara ke
hadapan dalam barisan kepimpinan parti.
"Sepatutnya
beri mereka pendedahan. Apabila terlampau ramai pemimpin berusia, ia
menyebabkan wujud jurang yang besar, jadi di mana wakil suara anak
muda?," soalnya dan mengakui proses menggilap bakat kepimpinan daripada
kalangan generasi muda bukan mudah kerana ia memerlukan masa dan
kelayakan seseorang individu.
Menurut
Jeniri, kredibiliti dan kelayakan pelapis itu juga tidak seharusnya
disandarkan kepada latar belakang pendidikan semata-mata sebaliknya
pengalaman politik, kemahiran komunikasi dan menyantuni rakyat juga
perlu dititikberatkan dalam resume politik mereka.
Sementara
itu, geostrategis yang juga bekas pensyarah Universiti Teknologi
Malaysia (UTM) Azmi Hassan berkata politik Malaysia banyak berkisar
kepada sokongan akar umbi kepartian iaitu pengundi hanya memberi peluang
kepada ahli politik yang terserlah ke hadapan.
"Orang
muda bila aktif politik kepartian, terpaksa bermula dari bawah dan
mengambil masa lama. Orang lama dalam parti pula sukar memberi peluang
untuk anak muda membuat penampilan dalam parti. Bukan anak muda tiada
bakat berpolitik, tetapi terlalu banyak kekangan yang dikenakan mereka
yang lebih veteran.
"Pengalaman
berpolitik memakan masa kerana sistem perkaderan parti mengikut
hierarki. Tetapi jika parti memberi peluang terutama melalui cabang anak
muda, maka kredibiliti anak muda dapat dipupuk kebih awal. Masalahnya
cabang anak muda dalam parti itu selalu dibayangi oleh cabang yang
dianggotai oleh ahli yang berpengalaman," jelasnya.
Beliau
menarik perhatian, hakikatnya anak muda yang bergiat politik perlu
digandingkan dengan mereka yang lebih berpengalaman supaya kredibiliti
dapat dibentuk, namun kesemuanya memerlukan perancangan dan tidak akan
berlaku secara spontan.
Azmi berkata
pengundi perlu turut memainkan peranan dalam memilih pemimpin baharu dan
perubahan seperti dipamerkan pengundi Finland, New Zealand dan yang
sedang berlaku di Singapura ketika ini apabila kumpulan pelapis dan
proses pergantian pemimpin lama telah dirancang serta dimaklumkan kepada
rakyat mereka.
Ulasan
Catat Ulasan