Khianat Politik: "Harga mahal yang terpaksa dibayar oleh Muhyiddin'

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin terpaksa membayar "harga yang mahal" untuk mempertahankan kerajaannya termasuk cubaan mendapatkan perisytiharan darurat yang gagal.

Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Dr Puad Zarkashi, berkata harga yang mahal itu terpaksa dibayar Muhyiddin kerana tiada kejujuran politik.

Jelasnya, kerajaan Muhyiddin yang lemah boleh distabilkan jika tiada "permainan" untuk menikam dari belakang.

"Macam macam boleh berlaku minggu ini. Bajet (belanjawan) lulus, bajet ditolak, undi tidak percaya, parlimen bubar, Muhyiddin PM (perdana menteri) paling singkat dan mungkin akan ada PM baru," katanya katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, pagi ini.

Menurut bekas ahli parlimen Batu Pahat itu lagi, masalah dihadapi Muhyiddin itu berpunca daripada wujudnya kerajaan lemah - yang digelarnya sebagai 'kerajaan 113' merujuk kepada jumlah sokongan yang didakwa diterima perdana menteri.

Sebenarnya kata Puad kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang boleh menjadi stabil. Untuk mendapatkan keadaan itu, katanya, apa yang diperlukan ialah "kejujuran politik" berbanding gerakan menikam dari belakang.

"Sebenarnya kerajaan ini boleh stabil jika ada kejujuran politik. Terlalu banyak game plan untuk menikam dari belakang.

"Maka inilah harga mahal yang terpaksa dibayar oleh Muhyiddin," katanya.

Hentikan ego, balas dendam

Sejak akhir-akhir ini sekumpulan pemimpin dan veteran Umno membangkitkan - secara berkias - isu kejujuran politik dalam kerjasama parti itu dengan PN khususnya Bersatu dan PAS.

Selain Puad, turut lantang menyatakan isu itu ialah presiden Umno sendiri, Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kata Puad Muhyiddin juga memerlukan keajaiban untuk menyelamatkan kerajaan PN selepas usahanya mendapatkan pengisytiharan darurat ditolak Yang di-Pertuan Agong.

Muhyiddin dan PN kini berdepan cabaran kelangsungan pada Khamis ini apabila Belanjawan 2021 dibuka untuk undian, sama ada diterima atau ditolak.

Jika gagal mendapatkan sokongan majoriti, ia adalah simbolik kepada penolakan terhadap Muhyiddin sebagai perdana menteri dan lazimnya pemimpin terbabit akan berundur.

Umno sebelum ini meletakkan beberapa syarat untuk memberikan sokongan kepada belanjawan berkenaan namun disindir oleh PAS pula dengan mengumpamakannya seperti kisah Puteri Gunung Ledang.

Sementara itu Puad yang juga bekas ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) berkata rakyat sudah bosan dengan kemelut politik hari ini.

Justeru katanya Muhyiddin perlu mengetepikan ego dan kembali kepada kejujuran politik.

"Hentikan ego dan balas dendam. Balik kepada kejujuran politik," katanya.

 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ADA APA-APA KE TUN DAIM DI RUMAH TERBUKA AZMIN?

NEGARA TETAP PERLUKAN RAFIZI, WALAUPUN KERAJAAN SEMASA TIDAK PEDULIKANNYA

Ustazah hilang akhirnya dijumpai di Kuala Kangsar