Memperalat kemunduran sebagai strategi sokongan politik?

Memperalat kemunduran sebagai strategi sokongan politik?Kadang-kadang kita tertanya-tanya apakah kita sedang tinggal di abad ke-21 dalam sebuah negara yang dianggap antara negara membangun berprestasi ekonomi yang memberangsangkan, mempunyai sistem politik terbuka dan agak maju dari aspek-aspek lain jika dibandingkan dengan beberapa negara lain dalam kategori yang sama?

Persoalan ini terpaksa dikemukakan susulan berita baru-baru ini yang menyebut bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan telah meluluskan sebulat suara usul untuk menaikkan gaji semua Ahli Dewan Undangan tersebut termasuk para Exco yang kemudiannya dilaporkan diundurkan penguatkuasaannya kepada Januari 2020.

Menurut laporan tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Exco Kerajaan negeri Kelantan dijangka menerima kenaikan gaji pokok RM3000 ke RM5000 seorang.

Kenaikan itu dikatakan bertujuan mengurangkan perbezaan gaji antara wakil rakyat Kelantan dengan wakil rakyat negeri-negeri lain dan menurut Timbalan Menteri Besar Kelantan, wakil rakyat di Kelantan diibaratkan seperti pegawai kebajikan kerana ramai masyarakat di kawasan memerlukan perhatian dan bantuan mereka.

Kelantan mempunyai 45 ADUN, yang bermakna sekiranya benar RM3000 kenaikan diperuntukkan bagi setiap seorang ahli, sejumlah RM 135,000 tambahan akan dibelanjakan Kerajaan Negeri bagi wakil rakyatnya sebulan atau RM 1,620,000 setahun. Sebaliknya jika seorang menerima kenaikan RM5000 ia akan melibatkan tambahan perbelanjaan sebanyak RM225,000 sebulan dan RM2.7 juta setahun.

Isunya di sini bukan sahaja mengenai masa yang dipilih untuk membuat tindakan ini, atau jumlah yang akan diberikan tetapi yang lebih utama ialah bagaimana urusan kebajikan rakyat negeri dikendalikan.

Sungguh aneh dalam abad yang sudah jauh ke hadapan dari segi teknologinya termasuk teknologi digital, selain kemajuan pengurusan dan pentadbiran sesebuah kerajaan, para wakil kerajaan yang menjadi nadi kepada kerajaan itu masih belum dapat menguruskan keperluan rakyat mereka dengan baik dan berkesan.

Sukar untuk dipercayai bahawa pembangunan sosio-ekonomi rakyat secara tersusun dan maju tidak dapat dilaksanakan oleh sesebuah kerajaan di bumi Malaysia yang mempunyai potensi yang agak tinggi.

Apakah negeri Kelantan tidak mempunyai pakar-pakar yang boleh berperanan membangunkan negeri tersebut sehingga tidak wujud keadaan “ketidakpedulian ekonomi” di mana rakyat terpaksa mengetuk pintu wakil rakyat untuk mendapatkan bantuan?

Aneh juga bagaimana beroperasinya sebuah kerajaan seperti di Kelantan dengan wakil rakyat bertindak sebagai “pegawai kebajikan”.

Apabila Timbalan Menteri Besar menyuarakan keperluan wakil-wakil rakyat bertindak sebagai pegawai kebajikan ia memang sesuatu yang paling lucu sekali. Apakah wakil rakyat itu mahu dilihat sebagai pegawai kebajikan atau kalau disandarkan kepada tradisi dalam Kristianiti – Santa Claus – yang datang memberi bantuan kepada anak-anak buah pada musim-musim tertentu?

Jelas ini menggambarkan semacam kegagalan dalam perancangan dan pelaksanaan program pembangunan ekonomi dan sosial rakyat. Sepatutnya rakyat tidak perlu berbaris di hadapan rumah wakil rakyat menunggu bantuan wang atau benda lain. Itu bukan tugas wakil rakyat.

Sistem pentadbiran yang cekap akan memastikan rakyat dijaga keperluan mereka. Bahkan kemudahan asas juga akan sentiasa diberi perhatian sehingga rakyat tidak perlu datang mendesak kepada wakil rakyat mereka.

Memandangkan masih ramai rakyat di negeri itu berada di bawah garis kemiskinan, dan kadar kemiskinan kekal agak tinggi sejak beberapa dekad yang lalu, apakah amalan memberi duit kepada mereka yang datang meminta itu jalan keluar daripada masalah asas yang dihadapi rakyat?

Sampai bilakah wakil rakyat akan menjadi seperti Santa Claus? Macam-macam propaganda “pembangunan” didengari, tetapi hasilnya tiada apa-apa yang dapat meningkatkan taraf hidup sebilangan besar golongan yang amat memerlukan.

Bagi saya apabila pimpinan sebuah kerajaan memberikan alasan bahawa kenaikan gaji atau elaun adalah untuk menampung keperluan wakil rakyat yang bertindak sebagai “pegawai kebajikan” ia sebenarnya mempamerkan kegagalan kerajaan itu sendiri. Mereka tidak mempunyai visi, daya dan kemampuan untuk menyediakan “ecosystem” ekonomi dan sosial yang lestari yang dapat meletakkan rakyat dalam keselesaan.

Alasan kedua yang diberikan Timbalan Menteri Besar itu juga tidak wajar. Kononnya hendak “mengurangkan perbezaan gaji antara wakil rakyat negeri Kelantan dengan negeri-negeri lain”.

Kenapa perbandingan hanya dibuat terhadap imbuhan yang diterima tetapi tidak pada prestasi kepimpinan negeri? Sekiranya wakil rakyat di Selangor atau Pulau Pinang menerima imbuhan yang jauh lebih tinggi apakah prestasi wakil-wakil rakyat di negeri-negeri berkenaan sama seperti di negeri Kelantan?

Amat tidak wajar suatu perbandingan sedemikian dilakukan kerana indikator-indikator lain seperti prestasi ekonomi dan sosial juga mesti diambil kira.

Dan sudah tentu apabila wakil-wakil rakyat terpaksa bertindak sebagai “pegawai kebajikan” ia menampakkan suatu kegagalan kepimpinan secara menyeluruh sekaligus menolak hujah keperluan merapatkan perbezaan dalam penerimaan gaji dengan wakil-wakil dari negeri-negeri lain.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ADA APA-APA KE TUN DAIM DI RUMAH TERBUKA AZMIN?

NEGARA TETAP PERLUKAN RAFIZI, WALAUPUN KERAJAAN SEMASA TIDAK PEDULIKANNYA

Ustazah hilang akhirnya dijumpai di Kuala Kangsar