MUHYIDDIN BELUM MENANG, ANWAR JUGA TIDAK KALAH, CUMA MAHATHIR KIAN TERSISIH...
Sehubungan itu, tidak kurang yang menyalahkan Anwar Ibrahim atas kegagalan menolak belanjawan tersebut.
Mereka itu, sebahagian besarnya penyokong PH sendiri, dengan lantang menempelak dan mengecam Anwar sehingga menyeret kepada andaian bahawa Presiden PKR itu sudah tidak layak lagi untuk diangkat sebagai calon Perdana Menteri.
Hakikatnya, walaupun belanjawan telah diluluskan di peringkat dasar semalam, ini tidak bermakna Belanjawan 2021 telah lulus dan perjuangan blok pembangkang untuk menjatuhkan Muhyiddin Yassin sudah berakhir.
Kelulusan semalam hanyalah untuk bacaan kali kedua dan bermula Isnin nanti, akan bermula perbahasan yang diikuti pengundian di peringkat jawatankuasa atau kementerian, seterusnya akan dilakukan bacaan kali ketiga serta pengundian sekali lagi.
Selepas lulus semua pengundian itu, barulah dikira Belanjawan 2021 telah diluluskan untuk dibawa ke Dewan Negara bagi pengesahan, seterusnya boleh dibawa untuk perkenan Yang Dipertuan Agong.
Dalam erti kata lain, Muhyiddin belum lagi boleh diisytiharkan menang dalam perjuangaj belanjawan ini dan Anwar atau juga tidak kalah secara mutlak.
Perjuangan masih diteruskan dan laluan untuk belanjawan ini diluluskan masih lagi panjang, malah boleh dikata tetap berliku.
Walaupun penolakan jika dilakukan semalam, adalah baik untuk memberi gambaran bahawa Anwar dan PH tidak berkompromi dengan kedudukan kerajaan yang tiada keabsahan serta majoritinya diragui, tetapi persoalan penting harus difikirkan, apakah kemenangan boleh diperolehi memandangkan BN telah membuat ketetapan menyokong belanjawan di saat-saat akhir berikutan tuntutan pengeluaran KWSP akhirnya dipenuhi oleh kerajaan?
Sebelum ini, selain Tengku Razaleigh Hamzah yang dilaporkan hampir pasti berkecuali, beberapa Ahli Parlimen BN, khususnya Najib Razak dan yang lain-lain juga cenderung untuk menolak belanjawan kiranya tuntutan yang mereka minta tidak dipenuhi.
Malah, dalam perbahasan, Najib dan Anwar senada bahawa sokongan mereka terhadap belanjawan adalah mengambil kira sama ada kerajaan sedia memenuhi tuntutan berkaitan KWSP, moratorium wajib enam bulan lagi serta dana untuk propaganda Jasa dimansuhkan.
Makanya, oleh kerana tuntutan itu sedia dipenuhi kerajaan, Najib selaku Pengerusi BNBBC dan Zahid Hamidi atas kapasiti Pengerusi BN mengambil keputusan untuk menyokong belanjawan itu.
Apabila tuntutan itu dipenuhi, bererti bukan saja desakan Najib dan BN telah dipenuhi kerajaan, bahkan desakan Anwar juga turut didengari.
Bayangkan, apa jadi setelah tuntutan itu dipenuhi kerajaan, tetapi Anwar masih juga bersikap menolak belanjawan?
Sudah pasti, beliau akan dikecam dan dianggap tidak mengambil kira keperluan rakyat dan dinilai secara semberono menolak belanjawan.
Lebih-lebih lagi, berdasarkan BN sendiri menyokong belanjawan, penolakan Anwar dan PH jauh sekali untuk membuahkan kejayaan.
Dengan kalah di peringkat dasar lagi, ia akan lebih menyukarkan jika Anwar berhasrat untuk terus menolak belanjawan di peringkat jawatankuasa atau selepas bacaan kali ketiga nanti.
Tetapi, dengan membiarkan belanjawan diluluskan di peringkat dasar terlebih dahulu, Anwar dan PH boleh memfokuskan perjuangan mereka selepas ini untuk peringkat jawatankuasa atau kementerian serta membangkitkan isu-isu peruntukan tidak perlu atau yang tiada kaitan dengan Covid19, seterusnya memohon pengundian belah bahagi bagi tujuan tersebut.
Harus difahami, ada berpuluh-puluh perbahasan di peringkat jawatankuasa atau kementerian bermula Isnin ini dan jika kerajaan tidak mendengar semua bantahan yang disuarakan, kemungkinan ada yang gagal diluluskan lantaran tidak mustahil ada Ahli Parlimen BN turut tidak setuju dengan beberapa perkara dalam belanjawan di peringkat jawatankuasa.
Dalam posting di laman Facebooknya malam tadi, Najib juga menyatakan beliau masih menunggu butiran lanjut mengenai pengeluaran KWSP yang dibenarkan kerajaan dan membayangkan tidak teragak-agaknya untuk menolaknya di peringkat jawatankuasa jika kebenaran yang diberi kerajaan masih tidak memenuhi sebagaimana yang diminta.
Selain itu, strategi menolak pengundian di pertingkat dasar semalam juga bermakna Anwar tidak mendedahkan angka sebenar sokongan yang dimilikinya.
Menyembunyikan buat sementara perkara itu akan menjadikan Muhyiddin sentiasa dalam keadaan tidak menentu dan resah yang berpanjangan.
Ia turut menjadikan Muhyiddin sentiasa bergantung untuk sentiasa memenuhi tuntutan Najib dan BN bagi memastikan kerajaan pimpinannya tidak ditumbangkan.
Akhirnya, keadaan itu menjadikan UMNO dan BN terus menekan Muhyiddin sehinggalah PRU akan datang.
Dalam waktu yang sama, sementara Anwar sebelum ini telah mengadap Agong dengan membawa surat sokongan daripada Najib dan Zahid Hamidi, lulusnya belanjawan semalam tidak bermakna usaha mahu mengambil alih kerajaan sudah berakhir.
Perkara boleh terus berlaku bila-bila masa, sama ada ketika sidang Parlimen ini tengah berjalan atau selepasnya nanti.
Sekali lagi, ini juga menimbulkan keresahan dan jiwa kacau buat Muhyiddin.
Yang nyata, selain Muhyiddin belum menang dan Anwar juga belum kalah, hanya Tun Mahathir Mohamad yang jelas tersandung semalam kerana terbukti beliau semakin tiada sokongan, tersisih dan tidak relevan lagi untuk kembali sebagai Perdana Menteri buat kali ketiga.
Sebab itu, tidah hairan, selain Tun Mahathir, para pentaksub bekas Perdana Menteri itu juga jadi agak emosi dan melenting dengan strategi Anwar semalam.
Hakikatnya, Anwar bukan saja telah berjaya menjadikan Tun Mahathir termalu sendiri kerana sokongan terbukti amat kecil di belakangnya, ia juga menunjukkan Presiden PKR itu lebih ke depan dalam permainan strategi politik.
Kemarahan Tun Mahathir lewat petang semalam melalui tulisannya dengan menempak wakil rakyat pembangkang kerana menolak undi belah bahagi adalah bukti jiwanya sedang sengsara dan terluka.
Sementara Anwar kekal tidak melayan walau sepatah cecehan Tun Mahathir terhadapnya, tetapi dalam diam-diam beliau membuktikan kehebatannya.
Ulasan
Catat Ulasan