TI-M selar Putrajaya berhubung klausa kerahsiaan dalam perjanjian penyelesaian 1MDB-Goldman bernilai AS$3.9 bilion

Kumpulan hak asasi hari ini mempersoalkan keperluan kerajaan memasukkan klausa kerahsiaan dalam perjanjian penyelesaian dengan Goldman Sachs Group Inc (Goldman) berhubung skandal 1MDB sebanyak AS$3.9 bilion (RM16 bilion).

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Muhammad Mohan berkata, perjanjian penyelesaian dengan Goldman adalah isu kepentingan awam dan harus diperiksa oleh jawatankuasa Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan sebelum ini berkata, perincian dalam perjanjian dengan Goldman tidak boleh didedahkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang terhadap kerajaan kerana terikat dengan klausa kerahsiaan.

“Bahagian perundangan di kedua-dua belah pihak harus diberi akses kepada maklumat atas nama ketelusan. Ia tidak boleh secara mudah diistilahkan sebagai rahsia negara,” kata Muhammad kepada FMT.

Wathshlah Naidu dari Center for Independent Journalism (CIJ) berkata, klausa kerahsiaan penting untuk keselamatan negara, pertahanan dan ketenteraman awam, tetapi tidak boleh digunakan sebagai ” cara mudah” untuk menghalang masyarakat mengakses perkara-perkara kepentingan awam.

Beliau berkata, kerajaan mesti menjelaskan kenapa pendedahan perincian perjanjian itu memudaratkan dan kesan undang-undang khusus jika ia berbuat demikian.

“Putrajaya perlu menggubal undang-undang berhubung hak untuk mendapatkan maklumat, supaya klausa kerahsiaan boleh dibatalkan atas nama kepentingan awam,” kata Wathshlah, selain menambah bahawa undang-undang sama telah dilaksanakan di United Kingdom, Indonesia dan Sri Lanka.

Baru-baru ini, ahli Parlimen Subang Wong Chen menggesa ketua audit negara campur tangan dan menyiasat perjanjian penyelesaian Goldman, selain membenarkan satu jawatankuasa dwipartisan terdiri daripada 10 ahli Parlimen meneliti perjanjian tersebut.

Beliau berkata, rakyat Malaysia menuntut keadilan dan “pengembalian sepenuhnya” wang yang dicuri itu.

Beliau berkata, jika kerajaan masih beranggapan bahawa 10 ahli Parlimen tidak boleh melihat perjanjian tersebut secara menyeluruh, maka ketua audit perlu memberikan pendapatnya mengenai perkara itu.

Katanya, menyembunyikan fakta mengenai penyelesaian itu akan menyebabkan “luka ke-2” bagi rakyat Malaysia.

Pada Julai, Goldman bersetuju menerima penyelesaian dengan Malaysia, termasuk bayaran sebanyak AS$2.5 bilion dan peruntukan “luar biasa” bahawa bank itu menjamin Malaysia akan memperoleh bayaran tambahan AS$1.4 bilion daripada aset 1MDB yang dirampas di serata dunia.

Malaysia dalam pada itu akan menggugurkan pertuduhan jenayah terhadap bank berkenaan.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad meminta Putrajaya membatalkan perjanjian untuk menerima bayaran sebanyak AS$2.5 bilion itu, dengan berkata, wang yang akan dibayar kepada kerajaan itu “tiada apa-apa jika dibandingkan dengan jumlah yang sepatutnya dibayar kepada Malaysia”.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu