Umno pilih Anwar atau kekal bersama Muhyiddin?
Mungkin semakin ramai yang tidak berminat untuk mengikuti perkembangan memartabatkan kembali mandat rakyat di waktu pandemik Covid-19 ini. Ia memberi kelebihan kepada kelangsungan kerajaan pintu belakang yang diragui keabsahannya itu.
Kerajaan Muhyiddin Yassin bergelut untuk mengekalkan sokongan tipis di kala berdepan “pemberontakan dalaman” fraksi Umno, tetapi diselamatkan apabila barisan pembangkang sendiri gagal mencapai kata sepakat.
Keyakinan yang ditunjukkan oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim bahawa beliau memperolehi sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen yang mencukupi untuk menjadi perdana menteri baharu, menimbulkan tanda tanya besar apabila dibenarkan menghadap Yang di-Pertuan Agong tetapi gagal menunjukkan nama-nama wakil rakyat berkenaan.
Sekali lagi wabak maut koronavirus menjadi faktor penghalang kepada proses peralihan kuasa. Manakala masa tertangguh itu amat diperlukan oleh Muhyiddin bagi memastikan sekutunya dalam Perikatan Nasional tidak “beralih arah”.
Surat sokongan Najib Razak dan Zahid Hamidi kepada Anwar yang dibocorkan itu adalah petanda jelas rapuhnya kekuatan PN, namun dinamika politik terus mencetuskan ketidak-tentuan berpanjangan. Belum ada kata putus yang boleh dimuktamadkan.
Sementara usul undi tidak percaya kepada perdana menteri yang dikemukakan oleh ramai ahli Parlimen sukar mendapat kelulusan Speaker untuk dibahaskan, perhatian kini tertumpu kepada pengundian Bajet 2021 hujung minggu ini.
Sikap yang dibayangkan oleh beberapa pembahas Umno tentu sekali menggusarkan Muhyiddin. Andainya Bajet 2021 gagal memperolehi sokongan majoriti, hayat kerajaan tebuk atap ini mungkin berakhir.
Isu berbangkit sekarang, mungkinkah pendirian Umno terikat dengan keputusan rasmi parti? Bersediakah Umno memberi kelonggaran kepada kebijaksanaan dan rasa nurani wakil rakyatnya semasa pengundian nanti? Mutakhir ini sikap politik Umno kerap berubah-ubah manakala parti itu sendiri nampak terbahagi kepada beberapa fraksi.
Dalam kerangka besar, khususnya persiapan menghadapi PRU15, apakah pilihan terbaik Umno? Bersama dengan koalisi parti pemerintah yang buruk prestasinya, meskipun rasa terpinggir dan dibuli, dan menanggung imej negatif dan persepsi hodoh rakyat?
Atau membentuk kerajaan baharu dengan regu berbeda, termasuk DAP, diketuai Anwar? Soalan lebih langsung; apakah Umno lebih selesa berada bersama Anwar atau Muhyiddin sebelum membuat perhitungan lebih terperinci berdepan PRU15?
Umno memegang teraju pemerintahan selama enam dasawarsa secara mutlak. Biarpun bersama Perikatan, kemudiannya Barisan Nasional, ia sentiasa menguasai kerajaan dengan selesa sekali. Hampir semua potfolio penting dan strategik, dimonopoli oleh Umno. Keadaan amat berbeda apabila ia sekadar sekutu yang rasa terpinggir dalam Kabinet Muhyiddin walaupun mempunyai ahli Parlimen paling ramai berbanding Bersatu dan Pas.
Sudahlah terlepas jawatan paling berpengaruh, perdana menteri, posisi menteri terkanan pun tidak diserahkan kepada Umno. Selain itu, wakil-wakil Umno dalam Jemaah Menteri juga tidak menggambarkan hierarki mereka dalam kepemimpinan parti. Ia menyebabkan ada menteri-menteri Umno yang dilihat membelakangkan keputusan atau hasrat parti sendiri. Malah, dianggap seperti menjadi jurucakap Bersatu pula.
Daripada segi lakaran atas kertas, walaupun Umno mungkin boleh bertolak ansur dengan Bersatu, dengan melakukan beberapa pengubahsuaian atau penambahbaikan mengenai perkongsian kuasa bersama Bersatu, tetapi dalam konteks PRU15, kedua-dua parti Melayu ini cenderung untuk berentap di konstituensi yang sama. Ketika itu, persaingan bertambah sengit.
Umno dan Bersatu daripada rumpun yang sama, saling berebut posisi parti Melayu paling berpengaruh, dan masing-masing bertekad untuk membunuh satu sama lain. Umno lebih bersedia bersekutu dengan Pas berbanding Bersatu; begitu juga sebaliknya. Sekurang-kurangnya Pas sudah disudutkan ke penjuru yang agak terasing dan tidak mengganggu wilayah yang lebih luas. Namun, Pas pula kelihatan lebih dekat dengan Muhyiddin dan Bersatu.
Situasi mungkin berbeda dengan Anwar atau lebih tepat PKR, yang tertumpu di kawasan pengundi campuran. Proses agihan kerusi dijangka lebih mudah, sekiranya persefahaman berlanjutan hingga PRU15. Namun realitinya tidak semudah itu. Banyak sisi lain yang perlu diambil kira, khususnya PKR dilihat sebagai parti reformasi yang mempunyai idealisme berbeda kutub. Belum lagi diperincikan reaksi sekutu tradisi PKR, iaitu DAP dan AMANAH, terutama apabila membabitkan beberapa sosok penting daripada “kluster mahkamah”.
Dilaporkan pemimpin AMANAH dan DAP cukup tidak selesa jika kerajaan baharu dibentuk Anwar bersama tokoh-tokoh Umno yang dikait dan disabitkan dengan kes korupsi dan seumpamanya. Kedua-dua parti reformasi itu mungkin kehilangan sokongan penyokong tradisi dan dilihat mempertaruhkan prinsip perjuangan jika terlibat dalam kerajaan tersebut. Justeru, mereka nampak lebih condong untuk berkerjasama dengan Mahathir dan penyokongnya (Warisan dan Pejuang), berbanding Najib dan konco-konconya.
Memang tiada lagi situasi yang ideal buat semua parti. Pilihan terfokus kepada “mudarat lebih kecil” dan mengutamakan kepentingan negara pada waktu sukar ini. Apabila reda jangkitan Covid-19, pastinya opsyen pembubaran Parlimen adalah yang terbaik. Namun situasi ketika itu juga payah ditelah, sama ada tiga penjuru atau empat penjuru, dan mungkin tiada lagi “grand coalition”. Besar kemungkinan juga koalisi pemerintah terbentuk selepas pilihan raya.
Banyak norma baharu wujud selepas koronavirus; begitu juga yang terjelma dalam lanskap politik menjelang PRU15. Pengundian Bajet 2021 adalah ujian pertama terhadap kematangan dan keterbukaan elit politik kita. Selagi mana kepentingan diri dan kelompok menjadi prioriti, suasana ketidak-tentuan yang meresahkan ini sukar untuk ditamatkan.
Ulasan
Catat Ulasan