Belanjawan 2021 : Majoriti tipis bukti PN terus berdepan masalah keyakinan, tunduk kepada watak rakus

 


KUALA LUMPUR: Majoriti tiga undi yang diperolehi untuk meluluskan Belanjawan 2021 membuktikan kerajaan Perikatan Nasional akan terus berdepan dengan masalah keyakinan dan tunduk kepada “watak-watak rakus” yang mementingkan diri, kata Anwar Ibrahim.

Ketua Pembangkang itu berkata ketika negara memerlukan anjakan baru untuk bangkit dari suasana ekonomi akibat pandemik Covid-19, PN membuktikan bahawa ia tidak berkeupayaan menjalankan tanggungjawabnya dengan berkesan.

“Kerajaan PN akan terus berdepan dengan masalah keyakinan, dan ini telah dibuktikan hari ini apabila ia hanya berjaya mempunyai tidak lebih dari 112 sokongan.

“Kerajaan lemah seperti ini akan terus tunduk kepada watak-watak rakus yang berkepentingan dan kebajikan rakyat akan terus dikorbankan,” kata Anwar yang juga presiden PKR.

Anwar berkata Belanjawan 2021 mencerminkan betapa kerajaan PN hanya mengutamakan hayat politik mereka lebih dari kebajikan dan keterdesakan hidup rakyat.

Beliau berkata meskipun belanjawan itu mempunyai banyak kelemahan dari segi membela rakyat, sesetengah Ahli Parlimen terpengaruh dengan dakwaan PN, bahawa kakitangan awam akan terkesan jika ia tidak diluluskan.

“Oleh kerana kerajaan PN telah mengaitkan kononnya gaji dan prestasi penjawat awam akan terkesan sekiranya belanjawan tidak diluluskan, maka terdapat sejumlah ahli Parlimen memilih untuk mendukung belanjawan tersebut,” kata beliau.

Sokongan Ahli Parlimen itu diberikan sebagai solidariti ke atas  penjawat awam, “meskipun belum tentu mereka bersetuju dengan kerajaan PN,” kata Anwar.

Beliau berkata antara kelemahan ketara belanjawan itu adalah isu pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan kurangnya jala keselamatan melibatkan warga yang tidak punyai simpanan KWSP.

Anwar melahirkan rasa kesal dengan “beberapa” Ahli Parlimen yang menyatakan pandangan keras terhadap beberapa isu dalam belanjawan tetapi kemudian mengundi untuk menyokongnya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata ekonomi Malaysia semakin parah dan kerajaan PN tidak berupaya untuk memberikan rakyat pembelaan yang diperlukan.

“Penurunan penarafan Malaysia oleh Fitch Ratings baru-baru ini juga menunjukkan betapa lemahnya prestasi pengurusan ekonomi negara, dan tahap tatakelola yang membimbangkan.

“Kita sedang kembali ke era gelap di mana kerajaan akan terus menginjak prinsip ketelusan, tatakelola yang baik dan pengurusan dana yang cekap,” kata Anwar.

Belanjawan 2021 diluluskan di Dewan Rakyat hari ini dengan 111 menyokong dan 108 menentang, sekali gus menamatkan cubaan pembangkang untuk menyingkir Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 bacaan kali ketiga itu dibawa untuk undian belah bahagi di Dewan Rakyat di sebalik cubaan pembangkang mempertikaikan keabsahan kerajaan PN.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ADA APA-APA KE TUN DAIM DI RUMAH TERBUKA AZMIN?

NEGARA TETAP PERLUKAN RAFIZI, WALAUPUN KERAJAAN SEMASA TIDAK PEDULIKANNYA

Ustazah hilang akhirnya dijumpai di Kuala Kangsar