PKR bangkit sejarah kerjasama politik sejak 1999
Di saat timbulnya saranan Amanah ke arah pembentukan gabungan besar pembangkang, PKR membangkitkan sejarah kerjasama politik yang pernah dijalinnya.
DAP dan Amanah sebelum ini turut menggesa "anjakan politik baru" dalam pembangkang.
Gabungan politik besar bermakna peluasan kerjasama PH dengan melibatkan pembangkang yang lain, iaitu Pejuang, Warisan, Upko, Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Muda.
Bagaimanapun PKR setakat ini belum menyatakan apa-apa komitmen berhubung perkara itu, sementara Pejuang dan Warisan pula tidak menerima Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang.
Hari ini, PKR akhirnya memberikan bayangan bahawa parti itu terbuka dengan cadangan itu namun tidak memperincikan sebarang komitmen.
"Berkait isu politik semasa, PKR akan terus mengukuhkan PH serta meningkatkan kerjasama di kalangan pembangkang.
"Ini telah dilakukan sewaktu sesi parlimen yang lalu, termasuk usaha ketua pembangkang menjemput semua wakil parti pembangkang untuk duduk bersama membincangkan strategi menghadapi Belanjawan 2021 yang lalu.
"Sejak PKR ditubuhkan pada 1999 dan menempuh PRU pada tahun itu, serta PRU-PRU pada tahun 2004, 2008, 2013 dan 2018, PKR sentiasa mendukung prinsip kerjasama, persefahaman dan gabungan politik melalui Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan kini PH," kata pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil dalam kenyataan.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bulanan yang diadakan hari ini.
Kata Fahmi, dalam semua kerjasama yang dijalin PKR, mereka berpegang kepada prinsip mendukung agenda reformasi, menolak rasuah, kronisme serta kebobrokan yang berlaku dalam negara.
"Oleh itu, PKR akan sentiasa menilai perkembangan politik semasa secara bersama, dan akan meneruskan segala persiapan jentera dan perbincangan berkait PRU15 berpandukan penilaian tersebut," katanya lagi.
Ulasan
Catat Ulasan