AHLI PARLIMEN TEGUR HADI AWANG CERMIN DULU DIRI SENDIRI

 

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ada menulis bagaimana Mencetuskan Keraguan Kerja Syaitan.

Hakikatnya melumpuhkan Parlimen dengan alasan ingin menghadapi Covid-19 merupakan alasan dangkal, kerana pada saat-saat getir seperti ini Parlimen amat diperlukan.

Apabila kurangnya perbincangan dalam kalangan ahli Parlimen, maka syaitan-syaitan akan gemar menghasut ahli politik untuk melakukan apa sahaja yang mereka mahu untuk terus berkuasa – termasuklah menggunakan hujah-hujah yang kelihatan beragama untuk menghalalkan hal-hal yang batil.

Sebelum menuduh syaitan menghasut rakyat Malaysia untuk ragu, adalah lebih baik kita melihat bagaimana keraguan-keraguan ini boleh timbul.

Kerajaan Perikatan Nasional hari telah mengambil keputusan-keputusan yang dilihat aneh dan mampu membawa Malaysia ke belakang.

Contohnya ketika kerajaan secara tiba-tiba mengumumkan darurat yang sudah tentu akan merisaukan pelabur dan menghilangkan fungsi Parlimen.

Kegusaran ini bukan sahaja dikongsi oleh Pakatan Harapan, tapi turut disebut oleh pemimpin-pemimpin UMNO.

Keadaan ini menyebabkan rakyat ragu, adakah semua keputusan-keputusan yang diambil kerajaan ini benar-benar untuk menyelamatkan rakyat, atau mereka ingin menyelamatkan diri akibat kehilangan majoriti?

Apakah dalam hal ini syaitan juga yang perlu dipersalahkan?

Pada penghujung artikel yang ditulis Haji Hadi, beliau menyebutkan anak-anak muda Islam yang tidak mendaftar mengundi adalah kumpulan yang dihasut syaitan.

Sebagai wakil rakyat, tidak manis untuk kita melabel rakyat dengan gelaran sebegini. Sebelum kita menyalahkan anak muda kerana muak dengan politik, adalah lebih baik kita mengambil cermin, dan melihat diri sendiri.

PAS sehingga hari ini masih terkenal sebagai parti politik yang kerap menggunakan hujah-hujah agama secara berlebihan – sehingga satu tahap pernah menjadi ekstrem dengan amalan takfir (mengkafirkan) orang UMNO.

Ini termasuk tidak sembahyang di belakang imam parti lain, tidak makan sembelihan orang UMNO malah bernikah dua kali kerana menganggap tok kadi yang bukan dari PAS sebagai kafir.

Ini bukanlah ajaran sebenar agama Islam.

Namun, kita dapat melihat bagaimana setelah menjadi kerajaan – PAS yang dahulunya berapi-api ingin memperjuangkan RUU355 dan isu arwah Adib, tiba-tiba menjadi bisu.

Ketika rakyat sedang sudah, MB dan exco Kelantan mendapat kereta mewah dan kenaikan gaji yang lumayan, walaupun dengan keadaan negeri tersebut yang masih lagi ketinggalan dari segi ekonomi dan pembangunan.

Bukankah hal-hal seperti ini akan membuatkan orang ‘ragu’ untuk mendaftar sebagai pengundi? Jadi siapa sebenarnya syaitan yang berbisik ke telinga rakyat supaya meragui politik?

Jangan lupa, ketika Pakatan Harapan memerintah, buat pertama kali kita memperkenalkan pendaftaran automatik pengundi selain menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Nasihat saya, fokuslah membina dasar yang akan memberi manfaat kepada rakyat, lebih-lebih lagi Ketika berhadapan dengan pandemik. Berhenti menuduh rakyat hal yang bukan-bukan, mereka memiliki akal dan mata untuk menilai semua perbuatan kita.

NIK NAZMI NIK AHMAD

Ahli Parlimen Setiawangsa, WP.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ADA APA-APA KE TUN DAIM DI RUMAH TERBUKA AZMIN?

NEGARA TETAP PERLUKAN RAFIZI, WALAUPUN KERAJAAN SEMASA TIDAK PEDULIKANNYA

Ustazah hilang akhirnya dijumpai di Kuala Kangsar