COVID-19: Pilihan raya dan pilihan rakyat
PADA
18 September lalu, perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah
memberi isyarat bahawa keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, yang
berlangsung pada 26 September, boleh menentukan tarikh Pilihan Raya Umum
ke-15 (PRU15).
Pengerusi Perikatan
Nasional (PN), gabungan terbaharu didaftarkan, itu dipetik berkata
sekiranya rakyat Sabah memberi mandat yang meyakinkan kepada Gabungan
Rakyat Sabah, maka ia akan membolehkan mereka mengadakan PRU15 secepat
mungkin.
Ketika itu ramai telah mengandaikan kehadiran PRU15 dalam tempoh terdekat.
Sepuluh
hari sebelum itu, pada 8 September 2020, ketika berucap pada Majlis
Ulang Tahun Keempat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhyiddin
telah memberi gambaran PRU15 akan berlangsung dalam masa terdekat.
Sementara
itu, ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2020
pada 28 November, Presiden Bersatu itu memberitahu, PRU15 akan diadakan
sebaik pandemik COVID-19 berakhir, sekali gus memberi gambaran
kemungkinan ia akan menjadi kenyataan sekitar bulan Mac-April.
"Jika diizinkan, apabila pandemik berakhir, kita akan adakan pilihan raya umum.
"Kita kembalikan mandat pada rakyat dan biarlah rakyat pilih kerajaan yang mereka mahu.
"Insya-Allah Perikatan Nasional (PN) akan dipilih semula."
Perkara sebaliknya berlaku. Pelbagai perkembangan menjadi punca mengapa ia tidak menjadi kenyataan.
Kes jangkitan terus meningkat kepada empat digit – kes harian mencecah paras antara 2,700 hingga 3,300.
Kes jangkitan diramalkan akan meningkat kepada 5,000 dan seterusnya 8,000 kes menjelang suku kedua tahun ini.
Terakhir
ketika menjelaskan mengenai pelaksanaan darurat, perdana menteri
berkata beliau tidak berniat untuk tidak mengadakan pilihan raya, namun
perkara utama yang menghalang beliau daripada menasihati Yang di-Pertuan
Agong agar membubarkan Parlimen untuk pilihan raya diadakan ialah
pandemik COVID-19.
Dengan itu, PRU, PRN dan pilihan raya kecil tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat yang dilaksanakan sehingga 1 Ogos.
Spekulasi
mengenai PRU15 sudah kedengaran sejak pertengahan tahun lalu. Banyak
pihak telah mengandaikan bahawa ia akan berlangsung menjelang penghujung
tahun 2020.
Andaian itu telah meleset
disebabkan peningkatan jangkitan secara tiba-tiba di sebahagian besar
negara, terutama di Lembah Klang sehingga membawa kepada penguatkuasaan
Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai pertengahan Oktober.
Pelaksanaan PKPB juga tidak membawa kepada matlamat mengurangkan jumlah jangkitan.
Spekulasi
kekal berterusan. Diramalkan kita bakal menyaksikan PRU15 pada suku
pertama atau awal April sebelum Ramadan, serentak dengan PRN Sarawak,
yang mandatnya akan berakhir menjelang Julai ini.
Nampaknya spekulasi meleset buat kali kedua.
Perjalanan
tahun 2020 dihiasi krisis politik yang tidak menemui titik kesudahan,
dan ditambah dengan kehadiran pandemik COVID-19 tanpa diundang.
Kedua-dua
krisis politik dan kesihatan berterusan buat tahun kedua. Dalam hal
ini, salah satu aspek penting di sebalik ekosistem adalah pilihan raya.
Pilihan raya demokrasi menjadi bahagian penting dalam mana-mana negara yang mengamalkan sistem berparlimen dan demokrasi.
Jadi
perlu ada peruntukan perundangan yang boleh menyediakan untuk memanggil
dan mengadakan serta menangguhkan pilihan raya sekiranya perlu.
Buat
pertama kali dalam sejarah pilihan raya, tiga pilihan raya kecil iaitu
Batu Sapi, Gerik dan Bugaya ditangguhkan ekoran proklamasi darurat yang
diputuskan bulan November dan Disember lalu.
Mengikut pengumuman asal ketiga-tiga pilihan raya kecil itu akan diadakan apabila wabak COVID-19 reda kelak.
Meskipun
dua pilihan raya kecil iaitu Chini, Pahang dan Slim, Perak telah
berlangsung dengan lancar dan efektif meskipun dalam suasana COVID-19,
rata-rata rakyat tidak bersedia untuk berhadapan dengan pilihan raya
terutama PRU15 dan PRN Sarawak ketika wabak masih menghantui negara,
terutama susulan kesan yang dirasai selepas PRN Sabah.
Tidak
dapat dinafikan bahawa ada sesetengah negara yang telah mengendalikan
pilihan raya ketika wabak. Begitu juga ada negara yang mengambil
tindakan sebaliknya.
Berdasarkan makluman
International Institute for Democracy and Electoral Assistance (IDEA),
hampir 80 negara telah menangguhkan pelbagai jenis pilihan raya – umum,
pilihan raya kecil, pilihan raya kerajaan tempatan dan referendum ekoran
COVID-19 sejak awal tahun ini.
Pokoknya, kita belum bersedia dalam banyak segi. Sudah tentuk tahap ketidahpatuhan prosedur operasi standard (SOP) masih rendah.
Ini
belum mengambil kira jika pilihan raya diadakan, di mana ia akan
membabitkan proses kempen pilihan raya dan pergerakan orang ramai
sepanjang musim pilihan raya, sama ada secara langsung ataupun secara
tidak langsung.
Di sebalik darurat,
penggantungan dewan-dewan perundangan (pusat dan negeri) serta tidak
mengadakan pilihan raya sehingga Ogos ini (buat masa sekarang).
Tempoh
hingga Ogos itu kemungkinan mengambil kira keperluan peruntukan
mandatori mengadakan PRN Sarawak apabila mandatnya berakhir Julai ini.
Di
sebalik perkembanagn sejak Oktober, sudah tiba masa bagi kerajaan untuk
mempertimbangkan keperluan mengadakan peruntukan kuasa khas kepada
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam memutuskan asas-asas bagi
menangguhkan pilihan raya sekiranya berhadapan dengan keadaan darurat.
Ini kerana kerangka perundangan semasa hanya memberi SPR kuasa menguruskan pilihan raya. SPR wajib mengadakan pilihan raya.
Sebaliknya tiada peruntukan mutlak bagi menangguh atau menunda pilihan raya.
Di
bawah peruntukan semasa, salah satu fungsi SPR adalah menguruskan
perjalanan pilihan raya peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri
(DUN) sebagaimana dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan dan Negeri.
Mengikut
peruntukan Perlembagaan Persekutuan, SPR perlu mengadakan pilihan raya
untuk mengisi kekosongan yang wujud dalam masa 60 hari.
Fasal
1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan berbunyi, "kecuali sebagai mana
yang diperuntukkan di bawah Fasal (3) (keputusan mengenai kehilangan
kelayakan), apabila terdapat sesuatu kekosongan di kalangan ahli Dewan
Negara atau sesuatu kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli Dewan
Rakyat, maka kekosongan atau kekosongan luar jangka itu hendaklah diisi
dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan oleh Yang di-Pertua Dewan
bahawa ada kekosongan atau oleh SPR bahawa ada kekosongan luar jangka,
mengikut mana-mana yang berkenaan, dan suatu pilihan raya hendaklah
diadakan atau suatu pelantikan hendaklah dibuat dengan sewajarnya".
Fasal
yang sama juga berbunyi bahawa "jika kekosongan luar jangka di Dewan
Rakyat dipastikan pada suatu tarikh dalam masa dua tahun dari tarikh
Parlimen akan terbubar mengikut Fasal 3 Perkara 55, maka kekosongan luar
jangka itu tidak boleh diisi melainkan jika Yang di-Pertua Dewan
memberitahu SPR secara bertulis bahawa kekuatan dari segi bilangan parti
yang membentuk majoriti semua ahli Dewan Rakyat terjejas oleh
kekosongan itu, dan dalam keadaan sedemikian kekosongan itu hendaklah
diisi dalam masa 60 hari dari tarikh pemberitahuan itu diterima."
SPR
juga diberikan peruntukan di bawah Peraturan 24A, Peraturan-peraturan
Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 untuk mengisytiharkan
pengundian di tempat mengundi sebagai tidak sah, menetapkan hari dan
menentukan waktu untuk mengadakan pengundian semula.
Bagaimanapun, tiada peruntukan untuk bertindak menangguh atau menunda pilihan raya sebelum hari penamaan calon.
Kita
telah menggunakan peruntukan darurat untuk membatalkan hari penamaan
calon dan menunda tiga pilihan raya kecil yang sepatutnya berlangsung
bulan lalu dan bulan ini.
Undang-undang
semasa tidak menyediakan peruntukan khusus kepada SPR untuk menangguh
atau membatalkan keperluan mengadakan pilihan raya dalam keadaan negara
berhadapan dengan wabak, pandemik dan bencana.
Hanya
pengisytiharan darurat atau larangan khusus diumumkan oleh pihak
berkuasa boleh dan pernah disandarkan oleh SPR apabila memutuskan untuk
menunda proses pengundian semasa termasuk ketika PRU 1969 di Sabah dan
Sarawak.
Dalam keadaan terikat dari segi
kerangka perundangan, SPR memerlukan peruntukan khas atau punca kuasa
untuk membolehkan pengurusan pilihan raya ditangguh atau ditunda atau
membatalkannya sama sekali.
COVID-19 telah menyediakan keperluan untuk kita melihat semula sistem, undang-undang dan prosedur berkaitan dengan pilihan raya.
Sudah
tiba masa untuk menyediakan suasana kondusif untuk mengadakan pilihan
raya dan menyediakan ruang bagi rakyat membuat pilihan dengan tenang
tanpa sebarang rasa cemas dan bimbang, sekali gus memenuhi semangat
prinsip demokrasi.
Diharap ia akan menjadi agenda utama apabila Parlimen kembali berfungsi.
Dr G Manimaran
Ulasan
Catat Ulasan