Rasuah: Rakaman ‘Can I advise you something?’ SPRM diterima sebagai keterangan bagi kes Rosmah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan rasuah Rosmah Mansor memutuskan untuk menerima sebagai keterangan rakaman audio yang didakwa perbincangan antara beliau dan suaminya, bekas perdana menteri Najib Razak, mengenai isu 1MDB.

Keputusan ini membatalkan keputusan terdahulu mahkamah tersebut.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata, Mahkamah Tinggi pernah memutuskan dalam kes Pendakwa Raya lwn Anwar Ibrahim bahawa hakim perbicaraan boleh melihat kembali keputusan terdahulu.

“Dalam undang-undang lazim, perintah yang dibuat semasa perbicaraan tidak boleh dilihat sebagai keputusan kerana sesuatu keputusan mempunyai unsur muktamad,” kata beliau.

Rakaman itu untuk membolehkan mahkamah menilai sifat Rosmah, seperti yang dinyatakan dalam hujah pembukaan pihak pendakwaan.

Sebelum ini, mahkamah mendengar 10 saat pertama rakaman di mana seorang wanita didengar berkata kepada seorang lelaki, “Can I advise you something? (Boleh saya nasihat sesuatu?)”.

Pihak pendakwaan menggesa Zaini mengkaji semula keputusannya yang menolak untuk menerima rakaman tersebut sebagai bukti.

Saksi pendakwaan ketika itu, bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid, memberitahu mahkamah bahawa suara wanita dalam rakaman itu adalah suara Rosmah sementara suara lelaki itu suara Najib.

Keputusan untuk menolak rakaman audio tersebut sebagai keterangan dibuat semasa perbicaraan pada 11 Dis, dan Zaini berkata ia tidak termasuk dalam Seksyen 3 Akta Mahkamah Kehakiman, iaitu penghakiman, hukuman, atau perintah.

Tambahan, hakim itu berkata, Seksyen 41A Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah peruntukan khas yang tidak merangkumi undang-undang umum seperti Akta Keterangan.

Seksyen 41A mengizinkan pihak pendakwaan mengemukakan dokumen atau salinannya yang diperoleh SPRM dan ia boleh diterima sebagai keterangan dalam mana-mana prosiding.

“Pihak pendakwaan berusaha untuk menyerahkan kedua-dua barang ini (rakaman audio dan transkrip) sewaktu prosiding semasa. Oleh itu, (kedua-dua barang) boleh diterima sebagai keterangan.

“Namun, saya harus menegaskan, kekuatan barang tersebut adalah pertimbangan yang berbeza,” kata Zaini.

Sebelum ini, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya mendedahkan sembilan rakaman audio yang didakwa menampilkan Najib, Rosmah, dan beberapa pegawai dalam perbincangan mengenai urusan yang berkaitan dengan 1MDB dan SRC International.

Rosmah, 69, dituduh meminta suapan sebanyak RM187.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, melalui pembantu beliau ketika itu, Rizal Mansor, sebagai dorongan untuk membantu syarikat tersebut mendapatkan projek sistem solar photovoltaic (PV) hibrid serta penyelenggaraan dan operasi genset/diesel tersebut secara rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan.

Beliau juga didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi antara 2016 dan 2017.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu