Politik ‘kaw tim - kaw tim’


Tempoh hari Presiden PAS Abdul Hadi Awang membuat pengakuan. Bahawa Langkah Sheraton yang menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan tahun lalu dirancang sebaik sahaja PRU14 (2018) selesai.

Bagi saya pengakuan beliau bermaksud 1) pihak yang kalah tidak menghormati suara majoriti rakyat (ini sudah ditonjolkan banyak kali pelbagai pihak) dan; 2) pihak yang kalah tidak mahu menunggu empat atau lima tahun untuk PRU15 diadakan bagi cuba merampas semula kuasa, sebaliknya memilih untuk ambil jalan pintas. “Short cut”.

Saya pernah menulis mengenai jalan pintas ini, jadi mengapa ditulis lagi? Sebab presiden PAS membuat pengakuan terbuka – setelah setahun Perikatan Nasional memerintah.


Apabila Langkah Sheraton terjadi untuk membolehkan Perikatan Nasional mengambil alih tampuk pemerintahan negara, ramai yang tampil bertanya: “Apa perlunya pilihan raya jika kerajaan boleh ditumbangkan dan kerajaaan baharu boleh naik sebegitu cara?”

Tetapi, kita semua tahu pilihan raya tetap akan diadakan. Setidak-tidaknya untuk membuktikan ini negara demokratik dan demokrasi terus hidup.

Hakikatnya, PRU15 akan menyusul. Cuma tarikhnya kita tidak tahu. Jika saranan Presiden Dewan Negara Rais Yatim (yang juga orang kuat PPBM) diterima kerajaan, “Undi 18” tidak akan dilaksanakan walaupun undang-undang membolehkan rakyat berusia 18 tahun mengundi dan bertanding pada pilihan raya diwartakan September 2019.

Kita tahu pihak yang mahu menang pilihan raya kali ini untuk mengekal atau menubuhkan kerajaan mesti mewujudkan gabungan besar atau “grand coalition”. Parti politik yang tidak boleh wujudkan gabungan sedemikian susah atau tidak boleh menubuhkan kerajaan. Maknanya kalah lah tu.

Lantas kita maklum parti-parti politik sedang berbincang, berunding, dan berpakat-pakat untuk mendaptkan the “right formula” bagi mewujudkan gabungan mantap yang disebut tadi.

Lalu, kita dengar parti A mahu bekerjasama dengan parti C dan E dalam satu gabungan besar yang dikenali sebagai gabungan X.

Kita dengar juga parti B sedang berbincang dengan parti D dan F untuk wujudkan gandingan hebat – koalisi Y.

Namun ada penyokong dan golongan dalam parti itu tidak setuju. Maka timbullah formula lain. Umpamanya gandingan A dengan B dengan W manakala E juga mahu join A tanpa setuju B duduk bersama.

Rasanya anda tahu apa yang dimaksudkan tanpa saya menamakan parti politik yang sedang berbincang, berdiskusi dan yang “nego-nego”. Ada juga yang sedang memujuk rayu dan dipujuk rayu.

Mampukah mereka wujudkan gabungan yang diidamkan masing-masing? Hanya waktu akan menentukan. “Only time will tell,” kata omputih.

Realitinya, bukan mudah untuk mereka lakukan meskipun kita tahu dalam politik semua kemungkinan boleh terjadi.

Tetapi waktu semakin singkat. Ada orang politik serta penganalisis menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-15 akan diadakan apabila tempoh darurat tamat 1 Ogos ini. Lalu mereka kata kemungkinan PRU selepas September bila lebih ramai rakyat sudah menerima suntikan vaksin Covid-19.

Ada yang kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan tunggu sehingga tempoh pentadibiran tamat pada 2023 atau 2024. Kena tanya Pak Belalang gamaknya.

Namun andai kata PRU diadakan tahun ini dan parti politik yang sedang berbincang-bincang masih belum dapat wujudkan “grand coalition” masing-masing, apa akan terjadi? Siapa yang boleh menang untuk menubuhkan kerajaan?

Jika begitu keadaannya izinkan saya mengajukan cadangan.

Eloklah parti politik yang ada sekarang bertanding dalam keadaan mereka sekarang. Secara bersendirian atau dengan gabungan sedia ada dan dalam bentuk sekarang.

Ya, ini bermakna mereka dalam gabungan sama akan berdepan sesama sendiri dalam pertandingan pelbagai penjuru. Betul-betul pesta demokrasi yang meriah. Tidak perlu lambang bersama. Tak perlu manifesto bersama. Guna saja apa yang ada. Manifesto mungkin tidak perlu pun. Kalau nak juga paparkan yang “simple”.

Lawan dan berperanglah sambil menawarkan khidmat kepada rakyat untuk buat pilihan. Tunggu apa hasilnya. Walau apa pun, seperti apa jua pertandingan, tentu ada yang menang ada yang kalah.

Namun yang nyata tidak akan ada parti secara sendiri yang akan memperolehi cukup kerusi untuk membentuk kerajaan. Lantas yang menang bolehlah nego dengan golongan lain, dari parti lain yang juga menang beberapa kerusi.

Conggak, campur, dan kira berapa kerusi boleh dikumpul antara mereka. Jika cukup angka bolehlah tubuh kerajaan. Siapa jadi PM runding lagi. “Nego” lagi. Mungkin dalam keadaan tegang tetapi cuba dapat persetujuan. Cuba “kaw tim”. Ye ini “politik kaw tim”. Kadang kadang kena “kaw taw”.

Maksudnya calon parti A yang menang boleh “kaw tim” dengan calon parti B atau C atau D yang juga menang kerusi. Kumpulkan kerusi.

Maknanya tanding dulu, menang baru “kaw tim”. Bukan “kaw tim” sebelum pilihan raya yang jelas sangat susah nak capai kesepakatan.

Yang menang, “kaw tim” sesama yang menang untuk dapatkan angka ajaib tanpa kira mereka mewakili parti mana. Politik “kaw tim” bukan sesuatu yang ganjil buat mereka. Pernah berlaku. Adakah ini akan melenyap amalan lompat parti? Tidak.

Bagaimana pula yang kalah? Yang tak cukup kerusi. Habis cerita? Tutup kedai? Tidak. Mereka juga boleh “get together”. Kalau mereka yang menang boleh kumpul sesama mereka si kalah pun boleh kumpul sesama sendiri.

Mereka juga boleh rancang dan “nego” dan cuba jadi kerajaan. Sama ada menerusi pintu belakang, tebuk atap, ikut tingkap. Yang kalah pun boleh menang. Lihat saja Langkah Sheraton.

Akan tetapi kena bertindak cepat. Bak kata Hadi, Langkah Sheraton dirancang sebaik saja PRU14 tamat. Ikut nasihat beliau.

Adakah ini cerita merepek? Ya – merepek. Tetapi berani kah anda yakin cerita merepek ini tidak akan terjadi? 100% yakin?

Mohsin Abdullah

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ADA APA-APA KE TUN DAIM DI RUMAH TERBUKA AZMIN?

NEGARA TETAP PERLUKAN RAFIZI, WALAUPUN KERAJAAN SEMASA TIDAK PEDULIKANNYA

Ustazah hilang akhirnya dijumpai di Kuala Kangsar