Sidang Parlimen: Takiyuddin tidak hormati Titah Agong
Majlis Setiausaha Pakatan Harapan menyelar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung keputusan Jemaah Menteri PN tidak menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang.
Majlis Setiausaha Pakatan Harapan menyelar keputusan Jemaah Menteri Perikatan Nasional (PN) yang memutuskan tiada keperluan untuk sidang Parlimen diadakan ketika tempoh darurat.
PH berkata, alasan yang diberikan adalah lemah, dangkal dan tidak menghormati titah Yang di-Pertuan Agong yang menyatakan bahawa Parlimen boleh bersidang sewaktu darurat berkuatkuasa.
Menurutnya, kekeliruan SOP Covid-19, kemarahan rakyat tentang isu dua darjat dalam penguatkuasaan termasuk bantuan kerajaan yang tidak sampai dan tidak mencukupi, adalah sebab utama Parlimen perlu bersidang.
“Tanpa Parlimen dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, proses semak imbang telah ‘dimatikan’.
“Isu jangkitan Covid-19 dalam kalangan Ahli-Ahli Parlimen, YB Menteri
tidak menyatakan kepada media bahawa berdasarkan bukti dan data,
sepanjang 55 hari Parlimen bersidang pada tahun 2020, tiada seorang Ahli
Parlimen pun yang menjangkiti Covid-19 di Parlimen itu
sendiri.
“Malah, tiada satu pun kluster Covid-19 yang dibuktikan terhasil akibat persidangan Parlimen. Perlu diingatkan pada waktu itu, belum seorang Ahli Parlimen pun yang telah menerima vaksin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan tersebut dibuat bersama antara PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution; AMANAH, Datuk Dr Hatta Ramli; dan DAP, Anthony Loke.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata sidang Parlimen akan ditangguhkan sehingga 1 Ogos.
Beliau berkata, keputusan penangguhan itu dibuat berdasarkan alasan perundangan serta analisis data dan sains mengenai kekhuatiran penularan di dalam bangunan Parlimen.
Katanya, keperluan Parlimen bersidang untuk membuat undang-undang juga tidak ada.
Sementara itu PH menegaskan, Majlis Setiausaha tidak boleh menerima alasan-alasan yang diberikan kerana Kawalan Pergerakan sudah pun diganti dengan PKP Pemulihan atau PKP Bersyarat dan lebih banyak sektor ekonomi telah dibenarkan beroperasi.
Ulasan
Catat Ulasan