Skandal 1MDB: Kerajaan M'sia, Deloitte capai penyelesaian RM324 juta

Kerajaan Malaysia dan Deloitte PLT telah bersetuju untuk penyelesaian RM324 juta bagi menyelesaikan semua tuntutan yang berkaitan dengan pengauditan akaun 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd.

Penyelesaian luar mahkamah ini berkaitan dengan audit akaun 1MDB dan SRC untuk tempoh 2011 hingga 2014.

Perkara ini diumumkan oleh Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan media petang ini.

Kenyataan itu memetik Menteri Kewangan Zafrul Abdul Aziz yang mengatakan penyelesaian itu menandakan kejayaan dalam usaha pemulihan berterusan kerajaan Malaysia terhadap pihak yang terlibat dalam 1MDB, SRC dan entiti yang berkaitan dengannya.

"Kerajaan Malaysia bertekad untuk memastikan bahawa tindakan sewajarnya diambil terhadap semua individu atau entiti yang terlibat, secara langsung atau tidak langsung, di dalam skim global 1MDB," kata menteri itu.

Kementerian Kewangan juga mengatakan penyelesaian itu merupakan penyelesaian berkaitan 1MDB terbesar oleh sebuah firma audit di Asia Tenggara.

"Kejayaan penyelesaian luar mahkamah dengan Deloitte akan mempercepatkan pembayaran wang penyelesaian tersebut untuk memenuhi kewajiban tertunggak 1MDB dan SRC, tanpa proses mahkamah yang mungkin berpanjangan dan mahal," katanya.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa bank pelaburan antarabangsa Goldman Sachs dan bank Malaysia AmBank telah mencapai penyelesaian dengan kerajaan Malaysia berkaitan dengan 1MDB.

Kementerian Kewangan juga hari ini menekankan bahawa kedua-dua penyelesaian ini tidak akan mempengaruhi atau menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap individu dalam buruan berkaitan 1MDB, seperti Low Taek Jho atau Jho Low dan pihak lain yang berkaitan.

Kementerian menegaskan bahawa pihak-pihak ini masih akan diburu berhubung dengan skandal 1MDB.

Zafrul juga mengucapkan terima kasih kepada pihak-pihak terlibat dalam usaha mencapai penyelesaian itu: Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bank Negara Malaysia, Pasukan Polis Diraja Malaysia, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah.

BekasMantan perdana menteri Najib Razak pada bulan Julai tahun lalu didapati bersalah atas tujuh tuduhan penyalahgunaan kuasa, jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana berjumlah RM42 juta yang dikaitkan dengan SRC.

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib. Najib sedang membuat rayuan berhubung keputusan itu.

Dia juga menghadapi 25 tuduhan pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa berkaitan dengan dana RM2.28 bilion yang berkaitan 1MDB.

 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu